Jerayawara Kenali ASEAN 16 Januari ini

Jerayawara Kenali ASEAN 16 Januari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Jabatan Penerangan melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (ASEAN-COCI) akan mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN yang akan berlangsung di Dewan Auditorium, Sekolah Menengah Awang Semaun pada 16 Januari ini.

Jerayawara tersebut antara lain bertujuan memberi pendedahan dan menyalurkan maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para penuntut, selain mengetengahkan maklumat tentang Wawasan 2035 selaras dengan statistik perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau.

Jerayawara yang berbentuk sesi taklimat itu dirancang untuk diadakan dalam tempoh masa tiga tahun bermula tahun ini dengan memberi tumpuan kepada penuntut Tahun 7, 8 dan 9 di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta di negara ini.

Program akan bermula di sekolah-sekolah menengah di kawasan Daerah Brunei dan Muara dengan pembuka tirai jerayawara pertamanya di Sekolah Menengah Awang Semaun.

Jerayawara tersebut akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu taklimat dan kuiz yang akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan.

ASEAN-COCI mempunyai peranan utama dalam menyebarluaskan pengetahuan mengenai ASEAN khususnya kepada masyarakat di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA