Jerayawara LARIS di KB

Jerayawara LARIS di KB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Feb – Jerayawara dan Taklimat Pengenalan Sistem Maklumat Pendaftaran dan Permohonan Tanah (LARIS) telah diteruskan ke Daerah Belait hari ini, yang berlangsung di Dewan Bandaran di sini.

Jerayawara yang telah dimulakan sejak 17 Februari lalu dan akan berakhir 28 Februari ini diadakan bagi memperkenalkan dan membukakan peluang kepada pemilik tanah berdaftar mengemaskinikan data peribadi mereka di tempat-tempat yang telah disediakan.

Selain itu, semasa jerayawara itu, para pemohon juga boleh mendaftar ke e-Darussalam dan menjelaskan pembayaran cukai tahunan tanah.

Hadir pada jerayawara di daerah ini ialah Ketua Bahagian Teknikal dan Maklumat Tanah, Pegawai Tanah Kanan, Dayang Norzanah binti Haji Hambali serta pegawai-pegawai jabatan tersebut.

Dalam usaha untuk memudahkan menjalankan perniagaan di negara ini dan juga untuk memberi pemilik tanah dan pembeli berpotensi kemudahan untuk menjalankan urus niaga berkaitan tanah secara online, Kementerian Pembangunan telah mengumumkan bahawa Sistem LARIS mula digunakan pada 17 Februari lalu.

Para pengunjung berpeluang bertanya perkara-perkara yang berkaitan dengan tanah semasa Jerayawara Pengenalan Sistem Maklumat Pendaftaran dan Permohonan Tanah.
Para pengunjung berpeluang bertanya perkara-perkara yang berkaitan dengan tanah semasa Jerayawara Pengenalan Sistem Maklumat Pendaftaran dan Permohonan Tanah.

Sistem LARIS telah dimajukan dengan kerjasama di antara Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan dan Brunei Solutions Development Centre (BSDC) di bawah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan.

Sistem tersebut membolehkan pemilik tanah mengakses secara online kepada maklumat mengenai tanah mereka dan mendapatkan kebenaran untuk memindah milik tanah, selain daripada permohonan untuk mendapatkan kebenaran memindah milik tanah, sistem ini juga menyediakan pemilik tanah untuk menyambung tempoh pajakan, permohonan tukar syarat khas tanah, pendaftaran gadaian dan pendaftaran pajakan tanah persendirian.

Sistem LARIS.gov.bn ini boleh diakses melalui portal e-Darussalam di mana sebelum mengakses sistem berkenaan, pengguna dikehendaki mendaftar akaun e-Darussalam, semua permohonan memerlukan dokumen-dokumen yang disertakan untuk diimbas dan dimuat naik untuk disertakan bersama permohonan berkenaan.

Dengan memperkenalkan LARIS, sistem pengurusan dan pentadbiran tanah dijangka akan bertambah baik dan juga untuk mengurangkan masa bagi mendapatkan kebenaran yang diperlukan bagi permohonan berkaitan tanah.

Untuk kemudahan, permohonan juga boleh dibuat di lokasi awam tertentu seperti Meja Bantu Perniagaan, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi dan semua cawangan daerah Jabatan Tanah di mana komputer dan pengimbas disediakan untuk kegunaan awam apabila sistem secara rasmi dilancarkan. Maklumat lanjut mengenai LARIS boleh didapati di www.tanah.gov.bn.

Setakat ini Jerayawara Pengenalan LARIS telah diadakan di Dewan Muhibah Daerah Brunei dan Muara pada 18 Februari lalu, Petani Mall bagi Daerah Tutong pada 20 Februari, dan hari ini di Daerah Belait manakala itu, bagi Daerah Temburong, ia akan diadakan pada 24 Februari di Kompleks Bumi Putera, Pekan Banggar.

Sementara itu, jerayawara bagi kalangan profesional seperti peguam, akan diadakan dalam masa terdekat.

ARTIKEL YANG SAMA