Jerayawara Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur

Jerayawara Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Rokiah Mahmud

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof, hari ini, melancarkan Jerayawara Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur Kesihatan Negara Brunei Darussalam, bertempat di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Pelan induk berkenaan merupakan satu pelan komprehensif yang dapat dijadikan peta jalan sebagai panduan perancangan dan perlaksanaan pelan-pelan tindakan, strategi sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta pembangunan infrastruktur di abad ke 21.

Ia meliputi perancangan bagi tempoh 20 tahun akan datang yang bukan saja mendokong pencapaian visi kementerian malahan sekali gus mendukung kepada merealisasikan matlamat wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata, secara keseluruhannya terdapat tujuh strategi yang diberikan keutamaan dalam pelan induk tersebut yang mana sebahagiannya telah, sedang dan akan dilaksanakan dalam jangka masa pendek, sederhana dan seterusnya.

Menurut beliau, antara strategi-strategi berkenaan adalah mempromosi kecemerlangan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan secara berterusan dengan memberi fokus kepada people centred care dan penggunaan kaedah teknologi maklumat, dan banyak lagi.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan melancarkan Jerayawara Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur Kesihatan.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan melancarkan Jerayawara Pelan Induk Sistem dan Infrastruktur Kesihatan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan dokumen rangka kerja dan poster kepada Haji Mahrub.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan dokumen rangka kerja dan poster kepada Haji Mahrub.

Adalah dihasratkan, penghasilan strategi kesihatan berkenaan melalui pelan induk ini juga dapat mendukung aspirasi negara, bukan sahaja mengekalkan malahan akan meningkatkan pencapaian sasaran matlamat pembangunan milenium yang berkaitan dengan kesihatan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam ucapan alu-aluannya pula berkata, pelan induk ini berasaskan penelitian dan kajian terperinci mengikut piawaian antarabangsa dan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta amalan-amalan terbaik.

Menurutnya, projek penyediaan pelan induk ini telah memberikan landasan untuk mengupas isu-isu sistem kesihatan serta membuat penilaian kepada infrastruktur kesihatan dan seterusnya menghasilkan perancangan dan sokongan tindakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang mengikut keutamaan.

Program jerayawara yang dilancarkan bertujuan untuk memberigakan maklumat perisian dan perlaksanaan pelan induk sistem dan infrastruktur kesihatan Negara Brunei Darussalam khusus kepada warga Kementerian Kesihatan pada peringkat awal ini dan seterusnya kepada semua pihak berkepentingan berkenaan.

Yang Berhormat Pehin melihat lebih dekat pameran yang diadakan pada jerayawara berkenaan.
Yang Berhormat Pehin melihat lebih dekat pameran yang diadakan pada jerayawara berkenaan.

Dengan adanya jerayawara ini, ia akan dapat memberi kefahaman dan menanam kebertanggungjawaban serta mendorong semua yang berkenaan untuk memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen dalam sama-sama memastikan kejayaan perlaksanaan induk ini seperti yang dihasratkan.

Dalam pada itu, satu bengkel akan diadakan pada 6 Mei 2015, yang melibatkan penyertaan kesemua jabatan dan bahagian di Kementerian Kesihatan bagi membincangkan rangka kerja pelaksanaan dan pemantauan strategi dan inisiatif pelan induk ini dengan turut mengambil kira kepentingan Petunjuk Utama Prestasi (KPI) dan dapatan kesihatan.

Bengkel ini akan dimudah cara oleh Konsultan The Innova Group yang merupakan konsultan bagi Projek Pelan Induk dan Infrastruktur Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA