Jerayawara PKBN bermula

Jerayawara PKBN bermula

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara akan mengadakan jerayawara di beberapa buah sekolah bermula esok hingga Oktober nanti bagi memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai program berkenaan khususnya bagi Latihan PKBN Pengambilan kelima yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, jerayawara berkenaan akan diadakan di Sekolah Menengah Rimba I esok (21 September), bagi pelajar Tahun 11 bermula jam 8:30 pagi hingga 10 pagi; pada 22 September di Sekolah Menengah Rimba I bagi pelajar Tahun 10 bermula jam 8:30 pagi hingga 10 pagi; 26 September di Sekolah Menengah Lambak Kiri bagi pelajar Tahun 9 dan 10 bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi; 1 Oktober di Sekolah Menengah Berakas bagi pelajar Tahun 10 bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi dan pada 3 Oktober di Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar, Temburong bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Jerayawara itu khusus bagi mendedahkan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) secara meluas lagi kepada para belia/beliawanis negara terutamanya bagi penyertaan latihan PKBN pengambilan kelima nanti.

Penubuhan PKBN bermatlamat untuk melahirkan generasi belia yang bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik, bersatu padu, cekal serta mampu untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan memperkukuhkan ketahanan nasional.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun urusan penyelarasan selanjutnya, mereka boleh berhubung terus kepada Urus Setia PKBN melalui talian 2340033 / 2340045 atau faks 2341722.

ARTIKEL YANG SAMA