Jerayawara promosi sukan hoki

Jerayawara promosi sukan hoki

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

KUALA BELAIT, 22 Feb – Unit Kejurulatihan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan baru-baru ini mengadakan Jerayawara Sukan Hoki dan Petanque di sekolah rendah Lumut Belait.

Jerayawara berkenaan melibatkan penyertaan daripada Ketua Jurulatih Sukan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita 2016, Awang Shaiful Azli bin Abdul Rahman dan penandatanganan Pembantu Jurulatih Sukan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita 2016, Awang Fauzi bin Haji Awang serta perwakilan daripada Persatuan Petanque Kebangsaan.

Ratusan pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 3 sekolah berkenaan menghadiri taklimat tersebut dan seterusnya menyaksikan demonstrasi permainan hoki sebelum mencuba sendiri permainan yang semakin digemari itu.

Ketika dihubungi, Pembantu Jurulatih Sukan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita 2016, Awang Fauzi menegaskan antara yang disampaikan kepada pelajar pada taklimat tersebut adalah asas sukan hoki dan padanya ia adalah salah satu langkah mempromosikan lagi sukan berkenaan kepada tunas bangsa sebagai bintang sukan di masa akan datang.

Demonstrasi yang dipimpin ketua jurulatih lelaki dan wanita Hoki Kebangsaan Brunei Darussalam.
Demonstrasi yang dipimpin ketua jurulatih lelaki dan wanita Hoki Kebangsaan Brunei Darussalam.

“Sambutan daripada pelajar adalah menggalakkan dan saya terharu melihat ada di kalangan mereka yang sedih kerana tidak berpeluang untuk mendapatkan borang penyertaan sukan itu dan ini membuktikan sukan hoki semakin disukai dan digemari oleh generasi muda” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai perancangan masa akan datang, katanya “Setakat ini kami (pengurus pasukan dan pegawai sukan) baru sahaja menandatangani kontrak bersama Persatuan Hoki Kebangsaan Brunei Darussalam dan pastinya banyak perancangan akan dirangka dan dibuat oleh Ketua Jurulatih dan pengurus pasukan dan ia akan kami jalankan dan laksanakan sebaiknya”

Mengulas mengenai penyertaan pemain kebangsaan dalam jerayawara kali ini, menurutnya dua orang penjaga gol lelaki dan empat pemain wanita turut serta menjayakan jerayawara kali ini.

Beliau juga menegaskan jika tiada aral melintang jerayawara yang sama akan dilanjutkan dan akan berlangsung di Daerah Temburong bulan hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA