Jerayawara PSI bagi ibu bekerja

Jerayawara PSI bagi ibu bekerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Bagi memberi pengetahuan dan kesedaran akan manfaat penyusuan susu ibu (PSI) terutama dalam kalangan ibu-ibu bekerja, Kementerian Kesihatan melalui Pasukan Petugas Pemakanan Ibu, Anak Damit dan Kanak-kanak Kecil (MIYCN) telah memulakan Jerayawara Amalan Penyusuan Susu Ibu dan Pekerjaan sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015 bagi sektor awam dan swasta.

Menurut kenyataan yang diterima, di sini, hari ini, inisiatif jerayawara itu merupakan satu platform yang penting bagi pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan untuk mendekati para ibu yang bekerja dalam pemberian informasi mengenai hak materniti dan PSI dan seterusnya mempunyai komitmen yang tinggi dan serius dalam perihal perlindungan kesihatan ibu, anak damit dan kanak-kanak kecil.

Sehubungan itu, persekitaran di tempat kerja telah dikenal pasti memberikan impak yang amat penting kepada amalan PSI di kalangan ibu-ibu bekerja dan isu-isu yang sering dihadapi oleh mereka seperti mengekalkan kuantiti susu ibu dan cara penyimpanan perahan air susu ibu di tempat kerja.

Dalam pada itu, antara objektif jerayawara ini adalah untuk mempromosi dan menggalakkan pihak majikan pelbagai sektor untuk bersikap mesra ibu dan anak damit serta keluarga, dan disarankan juga untuk mempermudahkan dan menyokong secara aktif ibu-ibu yang bekerja meneruskan PSI.

Taklimat yang disampaikan oleh seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan mengenai PSI.
Taklimat yang disampaikan oleh seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan mengenai PSI.

Kenyataan menambah, dengan adanya jerayawara itu ia juga dapat memberi pengetahuan dan kesedaran akan manfaat penyusuan susu ibu termasuklah produktiviti, jaminan pendapatan keluarga dan pekerjaan, kesihatan dan kesejahteraan ibu dan anak damit, manfaat kepada majikan dalam jangka masa panjang dan sumbangannya kepada kestabilan serta kesihatan sosioekonomi negara.

Setakat ini, jerayawara seumpamanya telahpun diadakan di dua buah kementerian iaitu di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan pada 10 November dan di Kementerian Perhubungan 11 November lalu.

Melalui dua jerayawara ini, rata-rata peserta taklimat berpendapat ia sangat membantu dan menambahkan lagi pengetahuan dan menyokong sepenuhnya jerayawara ini di lanjutkan demi memberi pengetahuan tentang hak ibu bekerja yang menyusukan dan cara-cara mengekalkan air susu ibu agar tidak berkurangan setelah kembali bekerja.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu juga merancang akan melaratkan jerayawara tersebut sehingga ke tahun hadapan dan berharap agar ia akan dapat mencapai kepada seluruh warga ibu yang bekerja bukan sahaja di sektor awam malahan di sektor swasta.

ARTIKEL YANG SAMA