Jerayawara sempena Hari Diabetes Sedunia

Jerayawara sempena Hari Diabetes Sedunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait akan mengadakan Jerayawara Sempena Hari Diabetes Sedunia pada 30 dan 31 Januari ini di Pusat Membeli-Belah KBSentral, Kuala Belait bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

Jerayawara ini dikendalikan dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Diabetes (Teraja) dan KBSentral, Kuala Belait.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, beberapa kegiatan kesihatan bagi orang dewasa akan diadakan semasa jerayawara itu seperti pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, sesi bersama pegawai pemakanan, pegawai podiatri dan “Teraja”.

Manakala bagi kanak-kanak pula, disediakan ‘Diabetes Race’ atau perlumbaan diabetes dan pertandingan mewarna.

Dengan tema ‘Bertindak Sekarang Untuk Merubah Esok’, jerayawara ini merupakan salah satu kempen kesedaran bagi penyakit kencing manis atau diabetes (diabetes mellitus).

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi dan ikut serta dalam kempen jerayawara tersebut di samping dapat meningkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan kesihatan terutamanya mengenai penyakit diabetes daripada aspek pencegahan, penjagaan dan rawatannya.

Untuk maklumat lanjut mengenainya, sila hubungi 145 atau melayari laman sosial Facebook dan Instagram @hpcbrunei.

ARTIKEL YANG SAMA