Jerayawara siaran digital di Mukim Labi

Jerayawara siaran digital di Mukim Labi

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 16 Feb – Dengan hasrat membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan melalui rancangan-rancangan yang berkualiti, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) telah meneruskan Jerayawara ‘Badudun’ Ke Penyiaran Digital yang diadakan di Dewan Serba guna Rampayoh Labi II di sini, hari ini.

Jerayawara tersebut yang bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada orang ramai mengenai kualiti siaran digital telah dihadiri oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman selaku tetamu kehormat.

Hadir sama ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin, pegawai-pegawai kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait serta pelajar-pelajar sekolah.

Selain untuk memberikan kefahaman, jerayawara itu juga diadakan untuk menghebahkan masalah penerimaan siaran yang sering dihadapi oleh orang ramai yang sering kali disebabkan oleh penggunaan aerial yang tidak mengikuti tatacara dan ketiadaan peralatan penerimaan yang betul.

Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee dan Haji Haris ketika menyaksikan pameran yang disediakan oleh pihak RTB semasa Jerayawara di Mukim Labi, kelmarin.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee dan Haji Haris ketika menyaksikan pameran yang disediakan oleh pihak RTB semasa Jerayawara di Mukim Labi, kelmarin.

Ia juga sebagai peluang Jabatan RTB dalam membuat pendekatan secara bersua muka dengan orang ramai tentang perkhidmatan-perkhidmatan RTB dan memberikan peluang kepada majlis perundingan kampung untuk mempromosikan dan memasarkan produk masing-masing.

Majlis turut mendengarkan taklimat mengenai siaran digital yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Kemajuan) RTB, Pengiran Haji Mahari bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Turut memberikan penerangan ialah Jurutera Pengawasan RTB, Awang Mohamad Shamsul bin Haji Sanif sebelum diakhiri dengan sesi soal jawab yang dibukakan kepada yang hadir.

Bagi menambah meriahkan lagi jerayawara tersebut, beberapa aktiviti sampingan turut diadakan antaranya galeri pameran dari bahagian kejuruteraan, TV dan Radio, serta jualan produk-produk daripada penduduk tempatan di mukim berkenaan, dan tidak ketinggalan persembahan bermukun dan kuiz berhubung dengan siaran digital.

ARTIKEL YANG SAMA