Jerayawara Tabung Dana bagi warga GLC

Jerayawara Tabung Dana bagi warga GLC

Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Dalam usaha memberikan kefahaman tentang Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Masjid mengambil inisiatif mengadakan jerayawara khusus bagi pegawai dan kakitangan serta warga GLC (Government Link Companies) yang diadakan selama dua hari di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Hari pertama jerayawara dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan KHEU, manakala itu, hari kedua untuk warga GLC, di mana taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku Ketua Urus Setia Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam.

Antara yang disentuh dalam taklimat itu termasuk mengenai pemotongan wang melalui arahan kepada bank ke atas akaun penyumbang (Standing Order Contribution), di mana pemohon yang mempunyai simpanan di bank boleh membuat arahan kepada bank berkenaan untuk memotong wang daripada akaunnya sama ada secara bulanan atau sekali gus.

Haji Abdul Rajid ketika menyampaikan taklimat mengenai tabung dana.
Haji Abdul Rajid ketika menyampaikan taklimat mengenai tabung dana.
Antara warga GLC yang mendengar taklimat di Dewan Multaqa, kelmarin.
Antara warga GLC yang mendengar taklimat di Dewan Multaqa, kelmarin.

Selain daripada itu, sumbangan juga boleh dibuat terus ke akaun tabung dana (Direct Walk-in Contributions) seperti BIBD Online melalui BIBD mobile CDM dan penyerahan sumbangan terus ke Jabatan Hal
Ehwal Masjid.

Jerayawara ini dihasratkan dapat memberikan kefahaman yang mendalam kepada pegawai dan kakitangan serta warga GLC tentang tabung berkenaan dan mekanisme kutipannya agar tidak timbul kekeliruan atau masalah yang berbangkit dalam kalangan orang ramai apabila mereka hendak memberi sumbangan ke tabung berkenaan.

Dalam pada itu, orang ramai masih lagi berpeluang menghulurkan sumbangan seangkat-angkat hati melalui perkhidmatan SMS ke tabung dana berkenaan yang akan berakhir pada 5 Disember ini.

Sumbangan boleh disalurkan dengan menaip MASJID diikuti dengan jumlah sumbangan sama ada 1, 5, 10, 15 atau 20 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif.

ARTIKEL YANG SAMA