Jerayawara Tabung Dana di Masjid Temburong

Jerayawara Tabung Dana di Masjid Temburong

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 5 Ogos – Dalam usaha memberikan kefahaman yang mendalam tentang Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid (TDPM) Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) mengambil inisiatif mengadakan jerayawara khusus bagi para pegawai masjid Daerah Temburong mengenai tatacara kutipan TDPM berkenaan serta keselamatannya agar kutipan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.

Taklimat jerayawara yang diadakan di Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar itu, telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, selaku Ketua Urus setia TDPM, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Majlis tersebut turut diselajurkan dengan penyerahan wakaf ke beberapa buah masjid yang disumbangkan oleh warga Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan seterusnya Ihtifal ‘Aidilfitri bersama para pegawai masjid yang terdiri daripada imam-imam, bilal, marbut, kakitangan dan ahli jawatankuasa masjid.

Antara objektif jerayawara berkenaan adalah untuk memberikan kefahaman kepada pegawai-pegawai masjid tentang prosedur pengutipan dana TDPM agar tidak timbul masalah-masalah yang berbangkit di kalangan orang ramai apabila mereka hendak menabung dalam tabung berkenaan.

Para pegawai dan kakitangan kerajaan yang terlibat dalam Jerayawara TDPM bergambar ramai setelah meraikan sambutan Aidilfitri.
Para pegawai dan kakitangan kerajaan yang terlibat dalam Jerayawara TDPM bergambar ramai setelah meraikan sambutan Aidilfitri.

Di samping itu juga, ia adalah sebagai salah satu usaha untuk mengukuhkan tali silaturahim di antara Pegawai Hal Ehwal Masjid dengan warga kakitangan masjid di daerah ini dengan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama pengarah dan pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal masjid.

Selain itu, ia dilihat sebagai salah satu sikap pemedulian Jabatan Hal Masjid kepada pegawai dan kakitangan serta ahli jawatankuasa di seluruh masjid, surau dan balai ibadat di negara ini, dengan melahirkan perasaan ukhuwah dan mempertingkatkan amalan beramah mesra, bermaaf-maafan dan bertanyakan masalah-masalah yang dihadapi di seluruh masjid.

Jerayawara ini akan diteruskan lagi ke Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun pada 6 Ogos, jam 8:30 pagi.

ARTIKEL YANG SAMA