Jerayawara TAP diteruskan

Jerayawara TAP diteruskan

BANDAR SERI BEGAWAN 23 Mac – Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah meneruskan lagi jerayawara bagi majikan-majikan yang berdaftar di TAP, yang berlangsung di Bilik Mesyuarat B1 & B2, Bangunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), hari ini.

Sesi kali ini adalah yang ke-18 diadakan sejak ia dimulakan pada Januari lalu di daerah-daerah di Negara Brunei Darussalam.

Jerayawara ini turut disertai oleh Pegawai Kewangan dari Kementerian Kewangan, Dayang Amanina binti Haji Junaidi yang telah menerangkan mengenai Perintah Penyimpanan Rekod (Perniagaan), 2015.

Antara yang ditekankannya adalah objektif utama perintah berkenaan, yang menurutnya bagi menggalakkan peniaga-peniaga mengamalkan penyimpanan rekod yang baik (good record keeping practices) dan memberikan kawalan dalaman (internal control) yang lebih baik kepada peniaga bagi memantau kemajuan peniagaan.

Perintah Penyimpanan Rekod (Perniagaan) ini menghendaki setiap individu yang mengusahakan atau menjalankan mana-mana perniagaan untuk menyimpan dan menyelenggarakan rekod setiap transaksi perniagaan. Menurut beliau, rekod tersebut hendaklah disimpan sekurang-kurang lima tahun dari tarikh transaksi itu dibuat.

Sesi soal jawab para pegawai TAP bersama majikan-majikan semasa jerayawara tersebut.
Sesi soal jawab para pegawai TAP bersama majikan-majikan semasa jerayawara tersebut.

‘Rekod’ yang dimaksudkan dalam perintah ini termasuk buku akaun yang merekodkan semua transaksi perniagaan, penerimaan dan pembayaran, invois, baucar, resit dan dokumen yang berkenaan untuk mengesahkan jumlah-jumlah dalam buku akaun.

Daripada pihak TAP pula, tiga taklimat disampaikan kepada majikan, iaitu mengenai Akta Tabung Amanah Pekerja dan Perintah SCP, tatacara pembayaran caruman TAP dan SCP, dan penggunaan perkhidmatan online e-Amanah.

Penolong Pengurus dari Unit Penguatkuasaan TAP, Awang Husraime bin Hussin menerangkan mengenai tanggungjawab majikan dalam mendaftarkan dan membayar caruman TAP dan SCP pekerja-pekerja mereka yang memenuhi pensyaratan, termasuk pekerja kontrak, pekerja bergaji hari, pekerja sementara dan pekerja yang dalam tempoh percubaan.

Beliau menekankan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi majikan yang gagal mendaftarkan dan membayar caruman TAP dan SCP pekerja mereka dan sekiranya sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih daripada $ 3,000 bagi kesalahan pertama dan $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Taklimat mengenai tatacara pembayaran caruman TAP dan SCP disampaikan oleh Pemangku Pengurus dari Unit Pemerosesan Data dan Pemeliharaan Dayang Siti Farhana binti Borhanuddin.

Dalam memudahkan majikan membuat perkiraan caruman TAP dan SCP, TAP telah menyediakan kaedah pengiraan satu jumlah pembayaran (One Payment) yang boleh dimuat-turun melalui laman sesawang TAP di alamat www.tap.com.bn.

TAP turut memberigakan mengenai perkhidmatan online e-Amanah, yang memberikan kemudahan bagi menguruskan hal ehwal pendaftaran dan caruman TAP dan SCP pekerja-pekerja secara online tanpa perlu mengunjungi kaunter-kaunter TAP.

Penolong Pengurus dari Unit Cawangan TAP, Dayang Siti Radziah binti Lamudin menerangkan, ia adalah selaras dengan usaha TAP dalam memberikan perkhidmatan yang efisien, efektif dan mudah kepada majikan. Melalui e-Amanah juga, majikan boleh mengemas kini butir-butir pekerja, dan membuat perjanjian bersama TAP secara online.

Selain daripada taklimat daripada pegawai-pegawai TAP, jerayawara turut menyediakan booth e-Amanah bagi membolehkan majikan melihat lebih dekat lagi kemudahan menggunakan perkhidmatan online ini.

Majikan-majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jerayawara ini boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja.

ARTIKEL YANG SAMA