Jerayawara TelBru bermula esok

Jerayawara TelBru bermula esok

pg10_160303_b

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkhidmatan WiFi seluruh negara, Telekom Brunei Berhad (TelBru) akan mengadakan jerayawara pada 4 hingga 6 Mac ini di Pusat Membeli-belah The Times Square, Berakas.

Perkhidmatan WiFi berkenaan telah diperkenalkan kepada orang awam pada 8 Disember 2015 lalu sebagai percubaan yang memberikan perkhidmatan 30 minit dan 500MB penggunaan secara percuma kepada orang awam.

TelBru dalam kenyataannya, hari ini, menjelaskan bahawa objektif jerayawara berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pelbagai segmen WiFi TelBru termasuk mekanisme log masuk kepada perkhidmatan itu, lokasi yang mempunyai perkhidmatan tersebut dan butiran lain mengenai perkhidmatan yang disediakan.

Sepanjang jerayawara tiga hari itu, orang ramai yang mendaftar bagi mana-mana pelan jalur lebar akan menerima pengecualian bayaran pendaftaran bernilai $50 dan mendapat kuota 25GB dengan tempoh sah 30 hari untuk sekali sahaja. Ini juga termasuk bagi pelan jalur lebar $25 yang baru sahaja diperkenalkan. Di samping itu, jerayawara juga akan dimeriahkan dengan aktiviti-aktiviti lain seperti permainan menyeronokkan dan pertandingan foto kreatif.

Mereka yang mendaftar bagi mana-mana pelan jalur lebar dalam tempoh itu juga akan berpeluang untuk memenangi hadiah dalam cabutan bertuah yang akan diadakan pada 6 Mac. Pendaftaran cabutan bertuah berkenaan akan diadakan pada hari yang sama, bermula pukul 12 tengah hari.

Pameran-pameran lain yang diketengahkan dalam jerayawara itu termasuk petak permohonan perkhidmatan TelBru, TelBru DMR dan My TelBru.

Sehubungan itu, TelBru mengalu-alukan orang ramai untuk menghadiri jerayawara berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai produk-produk dan perkhidmatan terkini TelBru.

ARTIKEL YANG SAMA