Jerayawara WiFi TelBru dapat sambutan

Jerayawara WiFi TelBru dapat sambutan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Jerayawara WiFi Seluruh Negara Telekom Brunei Berhad (TelBru) yang berlangsung di Kompleks Membeli-Belah The Times Square berakhir hari ini dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai sepanjang tiga hari jerayawara berkenaan.

Menurut kenyataan TelBru, semasa jerayawara tersebut, orang ramai berpeluang meneroka lebih lanjut mengenai perkhidmatan WiFi TelBru dan mendapatkan promosi apabila mendaftar bagi mana-mana pelan jalur lebar termasuk bayaran pendaftaran percuma bernilai $50 dan kuota 25GB dengan tempoh sah 30 hari untuk sekali sahaja, termasuk bagi pelan jalur lebar $25 yang baru sahaja diperkenalkan.

Jerayawara itu juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai segmen WiFi TelBru termasuk mekanisme daftar masuk bagi perkhidmatan itu, tempat-tempat yang terdapat perkhidmatan berkenaan dan butiran-butiran lain yang diperlukan.

Ketua Pegawai Pemasaran TelBru, Lim Ming Soon dipetik sebagai berkata, “Jumlah besar pengunjung ini turut menunjukkan bahawa TelBru telah berjaya mencapai objektifnya untuk memperkenalkan perkhidmatan WiFi TelBru di negara ini. Kini pelanggan kami boleh mendapatkan perkhidmatan WiFi di mana sahaja, bila-bila masa sahaja.”

Gambar ramai pemenang cabutan bertuah.
Gambar ramai pemenang cabutan bertuah.

Penutup jerayawara berkenaan turut menyaksikan majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah untuk mereka yang baru sahaja mendaftar bagi mana-mana pelan jalur lebar sepanjang tempoh tiga hari itu. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Lim Ming Soon.

Hadiah utama berupa Apple iPhone 6S Plus 64GB dimenangi oleh Awang Irma Azimin bin Haji Matussin, sementara itu, Pengiran Zainuddin bin Pengiran Haji Yusof membawa pulang Samsung Galaxy S6 Edge LTE 64GB, Dayang Hamidah binti Haji A. Hamid memenangi Huawei Nexus 6p 32GB, Awang Abdul Rahman bin Haji Chuchu menang Samsung Watch Gear S2 Classic dan Dayang Aini binti Haji Ahmad membawa pulang Samsung Watch Gear S2 Sport.

Semasa jerayawara tersebut, orang ramai juga berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai produk-produk dan perkhidmatan lain TelBru termasuk TelBru DMR dan My TelBru.

ARTIKEL YANG SAMA