Jerebu: 463 sekolah di Sarawak ditutup

Jerebu: 463 sekolah di Sarawak ditutup

KUCHING, 17 Sept (Bernama) – Sejumlah 463 buah sekolah rendah dan menengah yang melibatkan 184,808 orang murid di tujuh daerah di Sarawak, ditutup akibat jerebu hari ini.

Menurut Jabatan Pendidikan Sarawak seramai 15,162 guru turut terlibat dengan penutupan sekolah-sekolah berkenaan.

Sekolah rendah dan menengah itu terletak di tujuh daerah iaitu Kuching membabitkan 88 buah sekolah, Padawan (101), Bau (43), Lundu (33), Samarahan (59), Serian (85) dan Simunjan (54).

“Kesemua sekolah itu ditutup selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tujuh daerah berkenaan berada pada tahap sangat tidak sihat,” kata jabatan itu dalam kenyataan di sini, Khamis.

Ibu bapa mengambil anak mereka dari Sekolah Kebangsaan St. Joseph Kuching selepas Jabatan Pendidikan Sarawak mengambil keputusan menutup sekolah ekoran IPU mencecah bacaan 200 di ibu negeri itu, Samarahan, Padawan, Lundu dan Bau. – Bernama
Ibu bapa mengambil anak mereka dari Sekolah Kebangsaan St. Joseph Kuching selepas Jabatan Pendidikan Sarawak mengambil keputusan menutup sekolah ekoran IPU mencecah bacaan 200 di ibu negeri itu, Samarahan, Padawan, Lundu dan Bau. – Bernama

Kuching, Padawan, Bau dan Lundu mencatatkan bacaan 204 manakala Samarahan, Serian dan Simunjan mencatatkan bacaan 200.

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Sarawak berkata sekolah terbabit ditutup sehingga diberitahu kelak.