Jerebu, 518 titik panas dikesan

Jerebu, 518 titik panas dikesan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Negara Brunei Darussalam terus diselubungi jerebu dengan kualiti udara, hari ini, pada keseluruhannya di tahap baik dan sederhana.

Indeks pencemaran udara (PSI) pada 4:00 petang ini mencatatkan bacaan baik di Daerah Temburong pada PSI 26 dan sederhana di Daerah Brunei dan Muara (52), Daerah Belait (57) dan Daerah Tutong (60).

Dalam kenyataan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, keadaan berjerebu ini disebabkan oleh sejumlah titik panas akibat daripada kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di Kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke Negara Brunei Darussalam.

Imej satelit yang diterima daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), hari ini, menunjukkan sebanyak 518 titik panas telah dikesan di sebelah selatan kepulauan Borneo.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar manakala kanak-kanak, warga tua dan seseorang yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai juga dinasihatkan meminum air yang mencukupi dan berjumpa doktor di pusat kesihatan sekiranya terdapat kesan-kesan kesihatan seperti batuk-batuk, selesema, mata yang pedih dan susah bernafas.

JASTRe akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa, dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB dan laman web jabatan.

Dalam pada itu, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran rumput dan hutan. Orang ramai juga digesa untuk melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat jika terjadinya kebakaran rumput dan hutan di talian Hotline 995.

Orang ramai bolehlah menghubungi JASTRe untuk aduan pembakaran terbuka dan pertanyaan mengenai dengan kualiti udara di talian Hotline Darussalam 123 dan 2241262 sambungan 405 semasa waktu bekerja.

Maklumat mengenai bacaan PSI juga boleh didapati di laman web www.env.gov.bn setiap dua jam, manakala itu, maklumat dan nasihat kesihatan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Kementerian Kesihatan di talian Healthline 145 semasa waktu bekerja atau dengan melayari www.moh.gov.bn.

Maklumat mengenai ramalan kaji cuaca boleh diperoleh dengan melayari laman web Jabatan Kaji Cuaca, Kementerian Perhubungan di www.met.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA