Jerebu: 77 sekolah ditutup esok

Jerebu: 77 sekolah ditutup esok

KOTA KINABALU, 3 April (Bernama) – Sebanyak 77 sekolah rendah dan menengah di kawasan daerah Papar, Kuala Penyu dan Beaufort ditutup esok disebabkan masalah jerebu.

Pemangku Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul berkata daripada jumlah itu 53 sekolah di daerah Beaufort, Papar (10) dan Kuala Penyu (14).

“Jumlah 77 sekolah ini melibatkan 9,365 pelajar sekolah menengah dan 11,648 murid sekolah rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Maimunah, berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Membakut yang terletak dalam daerah Beaufort semalam ialah 279.

Beliau berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa keadaan jerebu esok, bagi menentukan tindakan seterusnya yang bakal diambil.