Jerebu: 9 Penerbangan terjejas

Jerebu: 9 Penerbangan terjejas

KUCHING, 11 Sept (Bernama) – Sembilan penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAB Kuching) terjejas akibat jerebu setakat 5 petang ini.

Pengurus LTAB Kuching Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Nadzim Hashim berkata sehingga pukul 5 petang, jarak penglihatan darat di LTAB Kuching adalah sekitar 1,600 meter.

“Sembilan penerbangan lewat, membabitkan lima ketibaan dan empat perlepasan, menjejaskan jadual penerbangan 934 orang penumpang. Tiada pembatalan setakat pukul 5 petang ini,” katanya dalam kenyataan.

“MAHB menasihatkan semua penumpang yg menggunakan penerbangan melalui LTAB Kuching supaya menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang,” katanya.

Kegiatan harian penduduk di tiga buah kawasan iaitu Kuching, Samarahan dan Sri Aman masih berjalan seperti biasa biarpun keadaan jerebu di ketiga-tiga kawasan tersebut sudah mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat

Keadaan jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semakin buruk apabila mencatatkan Indeks Pencemaran Udara sebanyak 164 iaitu paras tidak sihat, pada tengahari kelmarin. - Bernama
Keadaan jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semakin buruk apabila mencatatkan Indeks Pencemaran Udara sebanyak 164 iaitu paras tidak sihat, pada tengahari kelmarin. – Bernama

Setakat 5 petang, Samarahan mencatatkan IPU 184, diikuti Sri Aman (177), Kuching (164).

Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya ini mendapati rata-rata orang ramai dan penunggang motosikal sudah mula menggunakan topeng muka apabila menjalankan aktiviti luar rumah.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Datuk Dr Zulkifli Jantan ketika dihubungi Bernama berkata setakat hari ini tiada perubahan yang signifikan pertambahan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan kesan jerebu.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan pula berkata setakat semalam, bilangan titik panas di Kalimantan, Indonesia ialah sebanyak 18 titik panas.

Asap jerebu sederhana dan tebal daripada titik panas di wilayah Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah dijangka merebak ke arah kebanyakan bahagian Sarawak dalam tempoh 24 hingga 48 jam berikutnya, kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Residen (Pembangunan) Samarahan, Jamalie Busri ketika dihubungi berkata kualiti udara di sekitar Samarahan agak terjejas, namun aktiviti penduduk sekitar masih belum terjejas.

Beliau berkata penduduk juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar rumah, dan seboleh-bolehnya memakai topeng muka jika berada di kawasan luar.

Ketika ditanya sama ada berlaku pembakaran terbuka di kawasan tersebut, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlaku pembakaran terbuka.