Jerebu ancam Grand Prix Singapura

Jerebu ancam Grand Prix Singapura

SINGAPURA, 13 Sept (Reuters) – Sejak pelancaran Grand Prix Singapura pada 2008, para pelumba kerap tertanya-tanya mengenai bagaimana mereka akan berdepan dengan hujan lebat tropika sepanjang satu-satunya perlumbaan Formula Satu yang dilangsungkan di bawah cahaya limpah. Selepas tujuh tahun perlumbaan berlangsung, jawapannya masih menjadi misteri, tetapi keadaan bahaya yang berbeza mungkin mengancam perlumbaan tahun ini, yang dijadualkan pada 20 September depan.

Keadaan berjerebu menyelubungi bandar raya Singapura sejak minggu lepas lagi, yang berpunca daripada aktiviti pembakaran semula hutan di wilayah jiran Sumatra di Indonesia bagi tujuan pembersihan semula tanah pertanian mereka.

Jerebu yang berlaku hampir setiap tahun itu pada masa ini catatannya adalah di bawah Indeks Standard Pencemaran (PSI) yang kedudukannya di kadar kualiti udara “tidak sihat” pertengahan sehingga rendah, tetapi para penganjur perlumbaan memantau dari dekat keadaan itu jika ia semakin buruk sekali gus menjejaskan penglihatan para pemandu.

“Kemungkinan jerebu adalah hanya salah satu dari isu potensi yang termasuk dalam keseluruhan Pelan Kontingensi Grand Prix Formula Satu Singapura 2015.

“Jika berlaku jerebu yang menjejaskan penglihatan, pihak kesihatan awam dan penganjur GP Singapura akan bekerjasama rapat dengan agensi relevan sebelum membuat sebarang keputusan bersama berhubung acara berkenaan.”

Beberapa acara sukan tempatan di Singapura dibatalkan hujung minggu ini kerana risiko kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura memberitahu Reuters bahawa paras PSI kemungkinan kekal “tidak sihat” bagi tempoh minggu depan.

ARTIKEL YANG SAMA