Jerebu di Singapura di paras tidak sihat

Jerebu di Singapura di paras tidak sihat

SINGAPURA, 13 Sept (Bernama) – Singapura mengalami keadaan berjerebu hari ini dengan tahap kualiti udara mencecah paras tidak sihat.

Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) berkata, jerebu dibawa angin dari Sumatera.

Pada 6 ptg ini, indeks standard pencemaran (PSI) 24-jam ialah 126-146, yang berada di peringkat rendah hingga pertengahan dalam tahap tidak sihat.

Bacaan PSI 24-jam melebihi 100 menunjukkan kualiti udara tidak sihat.

Keadaan berjerebu sekarang dijangka terterusan hingga akhir hari ini dan esok.

Untuk esok, angin utama diramalkan bertiup dari selatan dan barat daya, dan keadaan berjerebu mungkin bertambah buruk oleh kerana angin kurang elok mungkin meniupkan jerebu lebih tebal dari Sumatera.

Hujan ribut yang diramalkan pada lewat pagi dan awal tengah hari esok mungkin meredakan keadaan buat sementara waktu.

PSI 24-jam bagi 24 jam akan datang dijangka berada di peringkat rendah hingga tinggi dalam tahap tidak sihat, dan mungkin mencecah peringkat amat tidak sihat jika angin meniup masuk jerebu lebih tebal dari Sumatera.