Jerebu dijangka tidak lagi melanda M’sia mulai tahun ini

Jerebu dijangka tidak lagi melanda M’sia mulai tahun ini

JAKARTA, 27 Jun (Bernama) – Jerebu yang melanda Malaysia dan negara jiran lain akibat pembakaran hutan dan ladang kelapa sawit di Indonesia dijangka tidak berlaku lagi mulai tahun ini.

Kejadian kebakaran hutan dan ladang sawit itu dikatakan akan terkawal sekaligus akan mengatasi masalah jerebu yang berlaku setiap tahun sebelum ini.

Ketua Umum Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (Gapki) Joko Supriyono berkata, keyakinan itu berasaskan persiapan oleh semua pihak termasuk kerajaan, syarikat perladangan dan penduduk kampung di kawasan ladang kelapa sawit.

“Kebakaran adalah masalah kita bersama, kerana itu semua anggota GAPKI telah diminta proaktif membantu kerajaan untuk mengatasinya.

“Penduduk kampung juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran besar-besaran secara terbuka,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, selain itu, Gapki akan bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dalam membantu pemantauan di semua titik panas.

Katanya, Gapki menyambut baik arahan Presiden Joko Widodo (Jokowi) agar pihak penguatkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melakukan pembakaran terbuka.

Joko berkata, pihaknya menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap pengusaha kepala sawit jika memang terbukti sengaja membakar ladang mereka bagi sebarang tujuan.

Katanya, bagaimanapun Gapki menggesa agar pihak berkuasa turut mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kebakaran hutan di luar kawasan ladang kelapa sawit.

Baru-baru ini, Jokowi mengarahkan semua pihak berkuasa mulai sekarang menjalankan kerja-kerja mencegah masalah pembakaran hutan dan ladang.

ARTIKEL YANG SAMA