Jerebu diramal berkurang minggu ini

Jerebu diramal berkurang minggu ini

Students walk along a street as they are released from school to return home earlier due to the haze in Jambi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Keadaan berjerebu yang melanda negara sejak 8 September lalu, dengan purata jarak penglihatan mendatar minimum antara 3 hingga 6 km, dijangka berkurang dalam minggu ini.

Pemangku Pengarah Kajicuaca, Jabatan Kaji-cuaca Brunei Darussalam, Awang Muhamad Husaini bin Aji berkata, keadaan jerebu di tahap sedikit ke sederhana, yang berasal dari rentas sempadan, dibawa oleh sistem angin di paras rendah atmosfera yang bertiup dari arah Barat Daya ke Timur Laut, telah memberi kesan kepada negara kita.

Maklumat dari Peta Jerebu terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura, menunjukkan keadaan asap jerebu di tahap sederhana hingga tebal terus berterusan dan meluas di Tengah Selatan Sumatera dan Kalimantan, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, maklumat terkini mengenai keadaan jerebu menunjukkan ada tanda-tanda kemungkinan keadaan jerebu akan berkurangan dalam minggu ini.

“Kelajuan angin Barat Daya di paras rendah atmosfera dijangka akan berkurangan di rantau kita, yang bukan sahaja akan meningkatkan jarak penglihatan mendatar, tetapi juga akan menyumbang kepada pembentukan aktiviti hujan dan ribut petir terutamanya pada waktu petang dan awal malam.

“Walau bagaimanapun aktiviti hujan ini dijangka bersifat sementara kerana ada kemungkinan jerebu kembali lagi menjelang pertengahan Oktober apabila angin kembali bertukar arah dari Barat Daya.”

Awang Muhamad Husaini berkata, ramalan jangka panjang sehingga penghujung bulan Oktober, Brunei dijangka memasuki musim peralihan yang secara kasar akan menjangkau sehingga bulan November.

“Dalam tempoh peralihan ini, cuaca negara banyak dipengaruhi oleh diurnal forcings, dimana kesan angin tempatan memainkan peranan penting dalam menghasilkan aktiviti ribut petir.

“Sementara itu, keadaan cuaca yang pada kebiasaannya berlaku pada bulan ini sehingga November adalah pembentukan ribut petir di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pantai dan laut pada waktu malam.

“Manakala jangkaan turunan hujan sepanjang bulan Oktober dan November 2015 berada dalam lingkungan sedikit di bawah normal ke normal.

“Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat cuaca apabila perlu mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan.”

Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan, Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei melalui Talian Cuaca 114 atau 2345567 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn dan laman Facebook di www.facebook.com/bruneiweather.

ARTIKEL YANG SAMA