Jerebu Indonesia beransur pulih

Jerebu Indonesia beransur pulih

JAKARTA, 3 Nov (Agensi) – Beberapa buah bandar di Kalimantan dan Sumatera yang sebelum ini diselubungi jerebu dan asap tebal selama berbulan-bulan, akhirnya kembali pulih apabila tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan mencecah paras terendah sejak krisis itu melanda Indonesia pada bulan Ogos lalu.

Portal berita thejakartapost.com melaporkan, semua bandar yang dipantau Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia pagi ini pertama kali berada di luar zon tidak sihat sejak krisis itu melanda.

Bagaimanapun, keadaan di Palembang, pusat bandar Sumatera Selatan, masih belum pulih apabila IPU mencecah 237, bacaan tidak sihat.

Beberapa kawasan di pulau Sumatera seperti Medan, Pekanbaru dan Jambi, mencatat bacaan di bawah 120.

Kebakaran hutan yang menyebabkan keadaan berjerebu. – Reuters
Kebakaran hutan yang menyebabkan keadaan berjerebu. – Reuters

Begitu juga di Palangkaraya, Kalimantan Tengah yang menjadi tajuk utama berita ekoran bacaan yang mencecah empat angka pada minggu lalu, IPU pada pukul 9 pagi hari ini dicatatkan setinggi 70.

Pihak berkuasa Indonesia menyifatkan keadaan cuaca semakin baik ekoran hujan lebat sekali-sekala, bermula awal minggu lalu.

Mengambil kesempatan kepada peningkatan awan di kedua-dua pulau tersebut, kerajaan Indonesia telah meningkatkan operasi pembenihan awan bagi membentuk hujan tiruan dalam usaha memadamkan rantaian api yang masih menyala di kawasan hutan dan tanah gambut.