Jerebu: Indonesia hantar 3 kapal perang

Jerebu: Indonesia hantar 3 kapal perang

JAKARTA, 26 Okt (AFP) – Indonesia telah menghantar tiga buah kapal perang, dengan lebih banyak siap sedia menunggu, untuk menghantar topeng muka, khemah dan bekalan perubatan kepada beribu-ribu orang yang terjejas oleh jerebu akibat kebakaran hutan, kata seorang pegawai hari ini.

Selama hampir dua bulan, beribu-ribu kebakaran berpunca daripada perladangan tebas dan bakar di Indonesia telah melemaskan sebahagian besar kawasan Asia Tenggara, memaksa sekolah ditutup dan berpuluh penerbangan dan beberapa acara antarabangsa dibatalkan.

Tiga kapal perang telah tiba di Kalimantan, separuh daripada Borneo dan salah satu rantau yang paling teruk terjejas – membawa kakitangan perubatan, alat perlindungan, dapur memasak dan topeng pelindung.

Jurucakap tentera Indonesia Tatang Sulaiman berkata rancangan mereka adalah untuk membina tempat perlindungan sementara dengan pembersih udara dan katil jauh daripada bandar yang dibelenggu jerebu, namun kapal berkenaan juga boleh berfungsi sebagai pusat pemindahan jika perlu.

“Kapal perang kami sudah bersedia untuk memindahkan penduduk, sama ada ke tempat perlindungan sementara berkenaan atau di dalam kapal. Kami sudah bersedia,” beirtahunya kepada AFP.

“Mereka yang akan dipindahkan terlebih dahulu adalah kanak-kanak dan mereka yang menderita daripada penyakit pernafasan kronik.”

Tiga buah kapal lagi sudah dibekalkan dan bersedia untuk berlepas ke Kalimantan atau Sumatera Selatan sementara lima lagi mungkin memulakan perkhidmatan kemudian jika perlu, tambah beliau.