Jerebu: Jarak penglihatan merosot

Jerebu: Jarak penglihatan merosot

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Negara Brunei Darussalam telah mengalami keadaan berjerebu semenjak kelmarin (8 September), dengan jarak penglihatan mendatar yang direkodkan di Stesen Pencerapan Kaji Cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa mula menurun daripada lebih 10 km kepada 5 km pada hari ini.

Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Perhubungan, Awang Muhamad Husaini bin Aji, dalam kenyataannya di sini, hari ini, berkata keadaan berjerebu ini disebabkan asap jerebu rentas sempadan dari Kalimantan dan Sumatera, Indonesia, yang dibawa oleh angin barat daya ke negara kita.

Merujuk peta jerebu serantau terkini bertarikh 8 September 2015 yang dikeluarkan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura, titik panas dan kepulan asap jerebu sederhana dan tebal telah dicerap terutama di tengah Sumatera dan Kalimantan.

Negara–negara jiran, Malaysia, Singapura dan Indonesia juga telah melaporkan keadaan jerebu di tahap sederhana hingga tebal.

Awang Muhd Husaini dalam kenyataannya juga menyatakan, Negara Brunei Darussalam dijangka akan terus mengalami keadaan berjerebu di tahap sedikit ke sederhana sepanjang minggu ini dan sekali-skala diselangi dengan hujan atau hujan dengan ribut petir.

Pemandangan di Bandar Seri Begawan yang dirakamkan petang kelmarin dalam keadaan diselubungi jerebu.
Pemandangan di Bandar Seri Begawan yang dirakamkan petang kelmarin dalam keadaan diselubungi jerebu.

Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, asap tebal yang menyelubungi negara adalah akibat daripada kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.

Hujan dalam beberapa hari ini masih belum dapat mengurangkan masalah jerebu dalam jangka waktu terdekat, menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah waspada kerana partikel jerebu boleh menyebabkan kesan-kesan alahan seperti gatal-gatal pada tubuh badan termasuk mata, hidung dan kerongkong yang boleh menyebabkan batuk, selsema, mata berair dan kesukaran bernafas.

Jerebu juga boleh lebih memudaratkan mereka yang menghidap penyakit jantung atau paru-paru yang kronik seperti asma.

Kementerian Kesihatan juga menasihati orang ramai supaya mengelakkan diri daripada berada di luar rumah untuk jangka masa yang lama, mengurangkan aktiviti di luar rumah, mengamalkan kebersihan diri pada setiap masa seperti mencuci muka dan tangan sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, banyak meminum air, menggunakan krim atau losyen pelembap bagi kulit yang kering dan menggunakan cecair titik mata yang tidak mempunyai bahan pengawet jika mata terasa pedih.

Apa yang lebih penting, jika terdapat tanda-tanda akibat jerebu seperti demam selsema, alahan dan kesukaran bernafas, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera di pusat-pusat kesihatan atau hospital berdekatan.

Orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) di Negara Brunei Darussalam yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (www.env.gov.bn) dan mengikut nasihat kesihatan yang tersebut semasa menghadapi jerebu.

Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dan iklim dari semasa ke semasa dan mengeluarkan nasihat cuaca jika perlu.

Orang ramai boleh mendapatkan keadaan cuaca terkini melalui aplikasi cuaca ‘Brunei Wx’ atau Iaman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti akaun Facebook Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, atau menghubungi Talian Cuaca 114 atau 2345567.

ARTIKEL YANG SAMA