Jerebu: JAS pantau rapi

Jerebu: JAS pantau rapi

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang memantau dengan rapi status serta trend kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu yang masih tidak menentu dengan titik-titik panas masih dikesan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan itu boleh menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan berterusan sehingga ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata kemerosotan kualiti udara dengan keadaan sedikit berjerebu yang dialami di beberapa kawasan di Sarawak ketika ini berpunca daripada kejadian jerebu merentas sempadan dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Menurutnya peta jerebu serantau dikeluarkan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) dua hari lepas menunjukkan lingkaran jerebu sederhana berpunca daripada kawasan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah dan Selatan serta Kalimantan Barat, Indonesia.

“Sementara itu tiga titik panas dikesan dalam negara iaitu satu di Pahang, dan dua di Sabah.Semua titik panas yang dikesan dalam negara akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media di Portal Rasmi JAS semalam.

Wan Junaidi berkata Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara telah diaktifkan sejak Februari lepas, yang meliputi aktiviti rondaan darat bagi tujuan pemantauan, mengeluarkan surat arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya sentiasa mengawalrapi kawasan pentadbiran masing-masing, meningkatkan kempen kesedaran untuk orang ramai, dan sebagainya.

Sementara itu, satu lagi kawasan iaitu Sarikei mencatatkan tahap udara tidak sihat di Sarawak hari ini, menjadikan keseluruhannya empat kawasan setakat ini.

Sarikei mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 100 sehingga pukul 8 malam hari berbanding 104 pada 12 tengah hari. Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), tiga lagi kawasan yang mencatat IPU tidak sihat ialah Sri Aman dan Samarahan 118 pada pukul 8 malam dan Kuching, 110.

Daripada 10 kawasan, enam kawasan di negeri ini mencatat bacaan IPU sederhana dan berdasarkan laman sesawang itu juga, hanya Sarawak yang mengalami keadaan berjerebu.

Di Labuan, bacaan indeks pencemaran udara (API) pada 2.50 petang ini ialah 74, yang dianggap sederhana walaupun tinggi sedikit daripada di tempat lain di Sabah.

Pengarah JAS Labuan Norani AK Frederick menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca sekarang.

Di Kota Kinabalu, empat bandar utama di Sabah mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat 9 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, IPU Tawau ialah 59, diikuti Kota Kinabalu, 56, Keningau, 53 dan Sandakan, 51.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).