Jerebu kembali semula

Jerebu kembali semula

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Keadaan berjerebu kembali menyelubungi negara semenjak kelmarin (19 Oktober 2015) dengan jarak penglihatan mendatar direkodkan di Stesen Pencerapan Kaji Cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa mula menurun daripada lebih 10 km kepada 6km pada hari ini.

Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengatakan keadaan berjerebu ini disebabkan asap jerebu rentas sempadan (Transboundary Smoke Haze) yang dibawa angin barat daya ke negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan Peta Jerebu Serantau bertarikh 19 Oktober yang dikeluarkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura, titik panas dan kepulan asap jerebu sederhana dan tebal telah dicerap terutama di wilayah Kalimantan dan Sumatera, Indonesia, dengan sejumlah 378 titik panas dikesan.

Negara ini dijangka akan terus mengalami keadaan berjerebu di tahap sedikit sehingga sederhana sepanjang minggu ini, walau bagaimanapun, hujan atau hujan berpetir sekali-sekala dijangka akan berlaku menjelang penghujung minggu ini yang dijangka boleh mengurangkan keadaan jerebu.

Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam dalam kenyataan itu juga mengatakan ia akan terus memantau keadaan cuaca dan iklim dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat cuaca jika perlu. Orang ramai yang ingin mendapatkan cuaca terkini melalui aplikasi Brunei WX atau laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook Jabatan Kaji Cuaca atau menghubungi talian cuaca 114 atau 2345567.

ARTIKEL YANG SAMA