Jerebu kembali teruk kerana ribut Tropika Koppu dan Champi

Jerebu kembali teruk kerana ribut Tropika Koppu dan Champi

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Keadaan berjerebu yang kembali teruk sejak beberapa hari lepas adalah disebabkan kehadiran ribut tropika Koppu dan Champi di Filipina yang mempengaruhi corak tiupan angin di rantau ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata keadaan itu menyebabkan angin yang bertiup lemah dari pelbagai hala sebelum ini, kembali bertiup dengan kelajuan sederhana dari arah barat daya yang membawa bersama jerebu dari kawasan kebakaran di Sumatera, Indonesia ke Semenanjung Malaysia, manakala jerebu dari kawasan kebakaran Selatan Kalimantan pula ke Sarawak.

Keadaan jerebu rentas sempadan yang melanda negara kini dijangka berakhir sekiranya tiada lagi ribut tropika yang boleh mempengaruhi corak tiupan angin dan menyebabkan cuaca kering atau apabila bermulanya musim tengkujuh awal November ini, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Cik Gayah berkata memandangkan jarak ketampakan kini seperti memandu di dalam hujan yang sederhana, para pemandu perlu sentiasa berhati-hati.

Sebuah feri Pulau Pinang dilihat kelam akibat diselubungi jerebu tebal semasa foto ini diambil. Bagaimanapun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pukul 1 petang menunjukkan paras 69 di kawa-san Prai, Seberang Jaya, 84, dan Universiti Sains Malaysia (USM) di pulau, 77. Ketiga-tiga bacaan ini me-nandakan hanya keadaan sederhana. - Bernama
Sebuah feri Pulau Pinang dilihat kelam akibat diselubungi jerebu tebal semasa foto ini diambil. Bagaimanapun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pukul 1 petang menunjukkan paras 69 di kawa-san Prai, Seberang Jaya, 84, dan Universiti Sains Malaysia (USM) di pulau, 77. Ketiga-tiga bacaan ini me-nandakan hanya keadaan sederhana. – Bernama

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Halimah Hassan pula berkata portal apims.doe.gov.my tergendala dari pagi tadi sehingga 1 tengah hari adalah kerana jumlah pengunjung yang meningkat dengan 3,000 pengunjung dalam masa tiga minit.

Orang ramai boleh hubungi bilik kawalan JAS di 1800882727 jika portal itu tergendala lagi untuk maklumat mengenai jerebu, katanya. Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar dan jika terpaksa keluar rumah, pemakaian topeng harus dilakukan sebagai langkah mengelakkan terkena penyakit akibat jerebu. – Bernama