Jerebu kini kembali berikutan titik panas meningkat

Jerebu kini kembali berikutan titik panas meningkat

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Jerebu kembali melanda beberapa kawasan di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan hari ini berikutan titik panas terus meningkat di Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keadaan itu dipengaruhi jerebu merentas sempadan berikutan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera tengah yang dibawa angin Monsun Barat Daya.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre yang berpusat di Singapura semalam, bilangan titik panas yang dikesan di Indonesia terus meningkat sejak beberapa hari lalu, katanya.

“Melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration 19, sebanyak 48 titik panas dikesan di Sumatera dan 49 di Kalimantan,” Wan Junaidi berkata dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan keadaan di Lembah Klang yang dilaporkan berjerebu dan berasap sejak tengah hari. Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan masih terdapat titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan.

“Keadaan itu boleh menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan berterusan ke pantai barat Semenanjung Malaysia dan ke Sarawak,” katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata tiga titik panas dikesan dalam negara iaitu di Pahang (1) dan Sarawak (2) dan akan disiasat serta diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

“Semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Setakat pukul 2 petang hari ini, Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing mencatatkan Indeks Pencemaran Udara 79 dan 67, manakala Cheras merekodkan bacaan IPU 58.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, bahaya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA