Jerebu: Lebih banyak titik panas dikesan

Jerebu: Lebih banyak titik panas dikesan

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengulangi kebimbangannya berhubung kemerosotan kualiti udara di negara ini, apabila semakin banyak titik panas dikesan di Sumatera.

“Saya memantau situasi ini setiap hari dan ia amat membimbangkan.

“Laporan daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang saya terima pagi ini menunjukkan terdapat 308 titik panas dikesan di Sumatera,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata beliau turut menyampaikan taklimat dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini berhubung situasi cuaca terkini, dan berharap untuk bertemu rakan sejawatannya di Indonesia untuk membincangkan perkara itu.

Isu lain yang akan diketengahkan dalam mesyuarat yang dicadangkan pada 17 dan 18 Sept di Jakarta itu adalah Memorandum Persefahaman Malaysia-Indonesia bagi menangani isu jerebu rentas sempadan, yang dipersetujui semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-17, katanya.

Pemandangan ibu kota agak berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 89 iaitu pada paras sederhana kira-kira 1.00 petang tadi ketika tinjauan fotoBERNAMA hari ini. Pelancong dari Korea Hayley Yang turut merakamkan foto kenangan berlatar belakangkan bangunan Menara Berkembar Kuala Lumpur. –Bernama
Pemandangan ibu kota agak berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 89 iaitu pada paras sederhana kira-kira 1.00 petang tadi ketika tinjauan fotoBERNAMA hari ini. Pelancong dari Korea Hayley Yang turut merakamkan foto kenangan berlatar belakangkan bangunan Menara Berkembar Kuala Lumpur. –Bernama

“Dalam hubungan ini, kami berharap dapat memuktamadkan MoU semasa lawatan ini,” kata Wan Junaidi.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini, beliau masih belum menerima jawapan daripada Menteri Alam Sekitar Indonesia berhubung permohonan beliau untuk mengadakan mesyuarat dua hala itu.

Selain Indonesia dan Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei turut bersetuju untuk mempertingkatkan usaha bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan dalam mesyuarat yang diadakan di Jakarta pada 28 Julai lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Datuk Che Gayah Ismail berkata belum ada keperluan untuk melakukan operasi pembenihan awan di Lembah Klang bagi meredakan masalah jerebu.

Beliau berkata ini disebabkan kualiti udara masih dalam lingkungan tahap sihat manakala operasi pembenihan awan akan hanya dilakukan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan di kawasan tertentu adalah 101 ke atas selama lebih 72 jam atau tiga hari berturut-turut, dan dikategorikan sebagai tidak sihat.