Jerebu Malaysia di tahap ‘amat tidak sihat’

Jerebu Malaysia di tahap ‘amat tidak sihat’

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) – Pencemaran udara di ibu negara Malaysia meningkat kepada tahap ‘amat tidak sihat’ hari ini tatkala asap yang menusuk hidung daripada kebakaran pertanian Indonesia meningkat, dalam satu krisis alam sekitar yang menjejas negara serantau.

Bacaan pencemaran meningkat melebihi tahap 200 pagi ini dalam indeks kualiti udara kerajaan Malaysia, had maksimum yang mencetuskan penutupan sekolah pada Isnin hingga Jumaat.

Semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak juga diarahkan ditutup esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin buruk

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata pemantauan berterusan di seluruh negara mendapati beberapa negeri dan bahagian hari ini mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat (201-300) dan tidak sihat (101-200).

Menurutnya pihak jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah bagi negeri dan bahagian terlibat hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing mengenai penutupan itu dengan kadar segera.

Para penjaga membawa pulang anak-anak mereka dari sekolah berikutan keadaan pencemaran udara yang semakin teruk - Bernama
Para penjaga membawa pulang anak-anak mereka dari sekolah berikutan keadaan pencemaran udara yang semakin teruk – Bernama
Jarak penglihatan terbatas di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berikutan jerebu yang mencatatkan bacaan tidak sihat setakat petang semalam. - Bernama
Jarak penglihatan terbatas di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berikutan jerebu yang mencatatkan bacaan tidak sihat setakat petang semalam. – Bernama

Tatkala jerebu semakin teruk di Malaysia semalam, sebuah lapangan terbang di luar Kuala Lumpur juga turut ditutup buat sementara waktu pada petang disebabkan jarak penglihatan telah berkurangan kepada kurang 400 meter.

Penutupan memaksa sekurang-kurangnya 20 penerbangan dibatalkan, menurut laporan media Malaysia, dan menyusuli penutupan sekolah di Singapura pada Jumaat tatkala udara di sana bertambah teruk kepada tahap ‘berbahaya.’

Sementara itu di Kuching, Sejumlah 533 buah sekolah rendah dan menengah di tiga bahagian di Sarawak akan ditutup esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin buruk.

Jabatan Pendidikan Sarawak dalam satu kenyataan berkata penutupan sekolah di Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman itu akan membabitkan 113,755 murid sekolah rendah dan 86,623 pelajar sekolah menengah.

“Sejumlah 265 buah sekolah rendah dan menengah di empat daerah dalam Bahagian Kuching iaitu Daerah Kuching, Bau, Lundu dan Padawan akan ditutup. Penutupan ini melibatkan 129,832 orang murid.

Manakala 198 buah sekolah rendah dan menengah di tiga daerah dalam Bahagian Samarahan iaitu Daerah Samarahan, Serian dan Simunjan membabitkan 54,976 murid akan ditutup esok,” kata kenyataan itu.

Bagi Bahagian Sri Aman, sejumlah 70 buah sekolah di Daerah Sri Aman dan Lubok Antu akan ditutup, penutupan melibatkan 14,359 orang pelajar, katanya.
Setakat 12 tengah hari tadi, IPU di Sri Aman mencatatkan bacaan 190, Samarahan (145) dan Kuching (137), iaitu tahap tidak sihat.

Manakala Empat penerbangan, masing-masing dua pelepasan dan dua ketibaan mengalami kelewatan akibat jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching pagi ini.

Menurut Pengurus Kanan LTAB Kuching, Mohd Nadzim Hashim, ia berikutan jarak ketampakan rendah di lapangan terbang itu pagi ini iaitu 800 meter sahaja.

Beliau berkata kelewatan itu melibatkan sektor pelepasan Kuching-Kuala Lumpur dan Kuching-Sibu serta sektor ketibaan Kuala Lumpur-Kuching dan Sibu-Kuching.

“Kelewatan ini melibatkan 333 penumpang iaitu 144 bagi ketibaan dan 189 untuk pelepasan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Setakat 10 pagi tadi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching mencatatkan bacaan tidak sihat pada 141.

Walaubagaimanapun, Kualiti udara di empat bandar utama di Sabah masih sederhana pagi ini walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus menunjukkan peningkatan dalam tempoh 24 jam.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 9 pagi ini, kualiti udara di Tawau merekodkan bacaan IPU 96 berbanding 50 pada waktu sama, semalam.

Kota Kinabalu dan Sandakan turut mencatat peningkataan bacaan IPU hari ini iaitu masing-masing 67 dan 65 berbanding 56 dan 54 yang direkodkan pada 9 pagi semalam.

Keningau pula mencatat bacaan IPU 62 berbanding 48 yang direkodkan sehari sebelum itu.