Jerebu mula melanda Malaysia

Jerebu mula melanda Malaysia

TAIPING, 18 Ogos – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memaklumkan kepada negara jiran Indonesia mengenai kebakaran tanah serta hutan di Sumatera tengah telah menyebabkan jerebu rentas sempadan ke beberapa kawasan di Malaysia.

Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau akan mengutus surat secara rasmi kepada rakan sejawatannya Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Dr Siti Nurbaya Bakar untuk memaklumkan tentang perkara berkenaan.

“Kita akan maklumkan kepada menteri berkenaan bahawa kita telah melihat jerebu ini sampai ke beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa peringkat kebangsaan 2016 di Kuala Sepetang di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata walaupun negara jiran bertindak pantas dalam memadam kebakaran hutan, namun asap daripada pembakaran tersebut tidak dapat dielak daripada menyebabkan jerebu.

Pelancong terpaksa berpayung berikutan cuaca panas dan berjerebu yang melanda Putrajaya. Indeks Pencemaran Udara di Putrajaya direkodkan setakat 12 tengah hari kelmarin berada pada bacaan 62 iaitu paras sederhana. – Bernama
Pelancong terpaksa berpayung berikutan cuaca panas dan berjerebu yang melanda Putrajaya. Indeks Pencemaran Udara di Putrajaya direkodkan setakat 12 tengah hari kelmarin berada pada bacaan 62 iaitu paras sederhana. – Bernama

“Sekarang, mereka cepat (memadam kebakaran) bila mendapat indikator ada kebakaran, tidak seperti dulu dan ini menunjukkan ia melaksanakan apa yang dijanjikan,’ katanya menambah jerebu yang melanda sekarang belum pada tahap berbahaya.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 3 petang tadi, sebanyak 33 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA