Jerebu pada tahap sederhana

Jerebu pada tahap sederhana

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Keadaan jerebu di negara ini masih di tahap sederhana dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di semua daerah mencatatkan bacaan antara 52 hingga 58.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dalam kenyataannya hari ini berkata, imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) hari ini, menunjukkan sebanyak 105 titikpanas telah dikesan di sebelah Selatan kepulauan Borneo.

Keadaan berjerebu ini adalah disebabkan oleh kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke Brunei.

Bacaan indeks pencemaran sehingga jam 4:00 petang ini bagi Daerah Brunei dan Muara ialah 54 PSI, Belait (59), Tutong (58) dan Temburong (52). Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara Baik. Bacaan PSI diantara 50 dan 100 adalah Sederhana.

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar manakala kanak-kanak, warga tua dan seseorang yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai juga dinasihatkan meminum air yang mencukupi dan berjumpa doktor di Pusat Kesihatan sekiranya terdapat kesan-kesan kesihatan seperti batuk-batuk, selesema, mata yang pedih dan susah bernafas.

Maklumat mengenai bacaan PSI juga boleh didapati di laman web www.env.gov.bn setiap dua jam. Maklumat dan nasihat kesihatan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Kementerian Kesihatan di talian Healthline 145 semasa waktu berkerja atau melayari www.moh.gov.bn. Maklumat mengenai ramalan kaji cuaca boleh diperoleh dengan melayari laman web Jabatan Kaji Cuaca, di www.met.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA