Jerebu tebal landa selatan Thailand

Jerebu tebal landa selatan Thailand

BANGKOK, 22 Okt – Jerebu tebal akibat kebakaran hutan Indonesia telah membawa kepada tahap pencemaran paling teruk di selatan Thailand dalam satu dekad, kata pegawai hari ini, menangguh penerbangan di sebuah kawasan yang popular dengan pelancong.

Selama hampir dua bulan, beribu-ribu kebakaran berpunca daripada perladangan tebas dan bakar telah menyelubungi sebahagian besar kawasan Asia Tenggara, menyebabkan kadar penyakit pernafasan meningkat, sekolah ditutup, dan berpuluh penerbangan dan beberapa acara antarabangsa dibatalkan.

Thailand biasanya mengelak kesan paling teruk kebakaran Indonesia, yang setiap tahun membelenggu Malaysia dan Singapura. Namun dalam beberapa minggu ini, angin telah membawa jerebu ke kawasan utara, mencetuskan ketegangan dan menimbulkan masalah kepada industri pelancong negara.

Pegawai Thai berkata hari ini kualiti udaranya telah merosot kepada tahap tidak sihat di tujuh wilayah selatan, dengan bacaan amat tinggi di barat daya wilayah Songkhla di mana beberapa penerbangan telahpun ditangguhkan atau disuruh berpatah balik.

“Ia dianggap satu krisis. Ia adalah paling teruk dalam 10 tahun,” beritahu Halem Jemarican, ketua Pejabat Alam Sekitar di wilayah Songkhla, kepada AFP menerusi telefon. “Faktor utama adalah angin. Ia adalah kuat di tempat panas asal tetapi apabila ia sampai Thailand, angin menjadi semakin lemah, dengan itu jerebu tinggal di sini lebih lama,” tambah beliau.

Seorang pegawai di lapangan terbang Hat Yai di Songkhla berkata tiga penerbangan dari Bangkok ditangguhkan hari ini disebabkan jerebu manakala satu lagi penerbangan dari Bangkok ke Hat Yai pada petang semalam terpaksa diubah haluan ke Surat Thani.

Thailand Selatan mempunyai banyak pantai tropika asli dan ia merupakan destinasi pelancongan yang popular. Pada awal bulan ini, beberapa kapal terbang yang penuh dengan pelancong ke pulau peranginan Phuket dan Koh Samui dipaksa berpatah balik disebabkan tahap jerebu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA