Jerebu tidak seteruk tahun lepas

Jerebu tidak seteruk tahun lepas

PUTRAJAYA, 29 Ogos – Jerebu yang melanda negara ketika ini dijangka tidak seteruk tahun lepas berikutan fenomena El Nino sudah berakhir, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menyifatkan cuaca kering yang melanda negara kini sebagai biasa, beliau berkata beberapa kawasan di negara ini juga masih menerima jumlah hujan yang biasa atau melebihi biasa sejak Jun lalu.

Wan Junaidi berkata kawasan itu diramalkan akan menerima hujan dan ini akan mengurangkan suasana kering dan jerebu walaupun terdapat peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Tindakan proaktif pihak Indonesia melaksanakan tindakan pencegahan jerebu dan pemadaman kebakaran hutan secara bersepadu juga berjaya mencegah kebakaran hutan dan jerebu merentas sempadan daripada berlaku, katanya.

“Dengan ini, saya boleh membuat rumusan bahawa negara kita tidak menghadapi jerebu seteruk tahun 2015,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata kementerian itu dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha pencegahan aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.

Antara tindakan tersebut termasuklah pemantauan rapi ke atas kawasan tanah gambut yang sering terbakar melalui pengaktifan Prosedur Tetap Operasi Program Pencegahan dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar, katanya.

Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka juga diaktifkan dengan membuat rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar, katanya.

“Pemantauan melalui udara dilaksanakan bagi mencegah kebakaran hutan terutama di kawasan sering terbakar dan kawasan pedalaman yang berisiko tinggi berlaku kebakaran,” katanya.

Wan Junaidi dalam pada itu berkata kementeriannya tidak menyembunyikan fakta dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) apabila berlakunya perbezaan bacaan antara Malaysia khususnya di Johor dan Singapura.

Ini berikutan Malaysia masih menggunakan sistem pengiraan bacaan IPU berdasarkan kepekatan habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10) dalam tempoh 24 jam yang mana Singapura menggunakan PM2.5.

“Malaysia dijangka menggunakan sistem PM2.5 menjelang tahun depan setelah menaik taraf kesemua 65 stesen di seluruh negara,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA