Jeremy Menez koyak telinga

Jeremy Menez koyak telinga

BORDEAUX, 5 Ogos – Penyerang baru Bordeaux Jeremy Menez mungkin terlepas permulaan musim ini selepas tatah kasut seorang pertahanan lawan mengoyakkan telinganya dengan begitu teruk sehingga memerlukan pembedahan, kelab itu berkata semalam.

Pemain antarabangsa Perancis itu berpindah dari AC Milan pada Isnin tetapi diusung keluar dari padang akibat pendarahan teruk semasa penampilan pertama malam Rabu dalam kemenangan 3-1 ke atas pesaing Ligue 1, Lorient dalam aksi persahabatan.

“Jeremy dibedah lewat Rabu untuk menjahit semula telinganya,” kata kelab itu pada Khamis.

Jurulatih Bordeaux Jocelyn Gourvennec menggambarkan telinga Menez sebagai ‘terpotong dua’ selepas perlawanan itu sambil menyifatkan midfield Lorient Didier Ndong terlampau kasar.

Bagaimanapun, pemain dari Gabon itu telah meminta maaf sedalam-dalamnya selepas perlawanan sambil berkata kejadian itu merupakan satu kemalangan.

Insiden Jeremy Menez koyak telinga akibat dipijak oleh Didier Ndong semasa aksi persahabatan di Sarzeau, kelmarin. – AFP
Insiden Jeremy Menez koyak telinga akibat dipijak oleh Didier Ndong semasa aksi persahabatan di Sarzeau, kelmarin. – AFP

“Saya memohon maaf kepada Jeremy Menez, Bordeaux dan berharap untuk melihat dia kembali ke Ligue 1 tidak lama lagi,” katanya. “Ia benar-benar tidak sengaja yang mendatangkan malang baginya.”

Bordeaux memulakan kempen Ligue 1 menentang Saint-Etienne dalam masa 10 hari lagi.

Terjahan keras Ndong pada awal permainan juga menyaksikan penyerang Bordeaux Diego Rolan tempang keluar dari padang.

Menez, 29, yang menghabiskan dua musim di Itali selepas menyertai Milan dari Paris Saint-Germain, memberikan kesan segera dengan 16 gol dalam 33 penampilan semasa kempen 2014-15.

Tetapi dia bergelut dengan kecederaan musim lalu ketika Milan tercampak ke tangga ketujuh dalam Serie A. Menez meraih 24 kali bersama Perancis tetapi kali terakhir bermain untuk Les Blues ialah pada 2013. – AFP