Jerman balas dendam

Jerman balas dendam

PARIS, 6 Sept (AFP) – Mario Goetze meledak dua gol untuk membantu Jerman membenam Poland 3-1 dalam perlawanan kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2016 yang menghiburkan semalam, sekali gus membawa juara dunia itu menerajui Kumpulan D.

Ireland Utara juga semakin hampir menempah tiket pusingan akhir Euro 2016 setelah menumpaskan Kepulauan Faroe 3-1 dalam saingan Kumpulan F.

Ini adalah kekalahan pertama yang dialami Poland dalam tujuh perlawanan kelayakan Euro 2016, dan Jerman berjaya membalas dendam setelah tewas 0-2 di Warsaw pada Oktober lalu, sekali gus merampas teraju kumpulan daripada skuad bimbingan Adam Nawalka itu.

Georgia pula meraih kemenangan 1-0 ke atas Scotland di laman sendiri, pasukan yang bakal bertemu Jerman di Glasgow Isnin ini, dan Republik Ireland membenam Gibraltar 4-0.

Ini bermakna Jerman kini mendahului Kumpulan D dengan 16 mata, sementara Poland di tangga kedua mengumpul 14 mata dan Republik Ireland di tempat ketiga setelah mengutip 12 mata, hanya berkelebihan satu mata di depan Scotland.

Goetze meraikan jaringan semasa menentang Poland dalam aksi kelayakan Euro 2016 di Frankfurt semalam. - Reuters
Goetze meraikan jaringan semasa menentang Poland dalam aksi kelayakan Euro 2016 di Frankfurt semalam. – Reuters

“Kami cuma ada satu objektif iaitu memenangi perlawanan, itu yang paling penting. Secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana kami berjaya mempamer prestasi yang baik dalam 35 minit pertama. Poland mendapat peluang hasil daripada kesilapan kami sendiri,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Kesemua empat gol dijelmakan oleh pemain Bayern Munich dengan Thomas Mueller menjaringkan gol awal buat Jerman, sementara Goetze menjadikan kedudukan 2-0 sebelum kapten Poland, Robert Lewandowski merapatkan jurang kepada 2-1 menerusi tandukan. Mueller dan Goetze kemudian bergabung tenaga untuk jaringan ketiga Jerman pada minit ke-82.

Sementara itu, dua gol daripada kapten Robbie Keane, yang melakukan penampilan ke-67 di pentas antarabangsa, dan gol daripada Cyrus Christie serta Shane Long memastikan kemenenangan mutlak Republik Ireland ke atas Gibraltar di Faro. Skuad bimbingan Martin O’Neill itu akan bertemu Georgia di Dublin, Isnin ini.

“Perjalanan masih panjang tetapi kami berjaya menggalas tanggungjawab dengan baik. Isnin ini merupakan satu perlawanan penting buat kami,” kata Keane.

Dalam aksi Kumpulan F, Ireland Utara hanya perlu melengkapkan satu lagi kemenangan untuk menjejakkan kaki ke pusingan akhir Kejuaraan Eropah setelah mereka berada di kedudukan teratas dengan 16 mata, satu mata di depan Romania yang diikat keputusan seri tanpa jaringan di Hungary.