Jerman hantar tentera, Tornado perangi IS

Jerman hantar tentera, Tornado perangi IS

BERLIN, 10 Dis – Kumpulan pertama tentera dan pesawat udara Jerman berlepas hari ini ke Turki sebagai sebahagian daripada pengerahan tugas dalam memerangi kumpulan Islamic State (IS) di Syria.

Seramai 40 askar dan dua jet peninjauan Tornado meninggalkan pangkalan udara tentera Jagel di utara negeri Schleswig-Holstein, Jerman.

Jet pengisian semula minyak udara A310 MRT berlepas berasingan dari pangkalan Cologne-Wahn menuju ke pangkalan udara Incirlik di selatan Turki.

Ahli perundangan Jerman lewat Jumaat memberi kebenaran pengerahan kira-kira 1,200 kakitangan dan pesawat udara untuk menyertai operasi tentera antarabangsa menentang IS, dalam menyokong Perancis selepas serangan Paris pada 13 November.

Menegaskan kepentingan pengerahan itu, perdana menteri Schleswig-Holstein, Torsten Albig mengatakan pada majlis penghantaran itu, ‘masa depan Eropah bergantung pada persahabatan ini’ antara Perancis dan Jerman.

Berlin segera menjawab panggilan bantuan Perancis dalam memerangi kumpulan jihad berkenaan, walaupun Jerman secara tradisinya selepas perang enggan untuk menghantar tentera dalam misi tentera luar negara.

Enam buah pesawat Tornado yang dilengkapi dengan teknologi pengawasan canggih itu boleh mengambil gambar dan imej inframerah, malah walaupun pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca buruk, akan dapat menghantarnya pada waktu sebenar ke stesen lapangan.

Berlin juga mengatakan ia akan menghantar sebuah frigat untuk membantu mengawal pengangkut pesawat udara Perancis, Charles de Gaulle di timur Mediterranean.

Jerman yang memberi sokongan, tidak merancang untuk melakukan pengeboman, tidak seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Britain. – AFP