Jerman masih pertikai juara Piala Dunia 1966

Jerman masih pertikai juara Piala Dunia 1966

Hamburger SV - Werder BremenHAMBURG, 28 Julai – Lima puluh tahun selepas gol kemenangan England di Wembley, kapten Jerman Barat Uwe Seeler (gambar) masih berkeras bahawa jaringan kontroversi Geoff Hurst tidak pernah melintasi garisan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1966.

Gol kedua Hurst pada minit ke-101 masa tambahan, yang meletakkan England mendahului 3-2 selepas perlawanan 90 minit selesai 2-2 lebih, boleh dikatakan jaringan paling kontroversi dalam sejarah bola sepak antarabangsa.

England meraih kemenangan 4-2 ke atas Jerman Barat dengan Hurst menjadi satu-satunya pemain menjaringkan hatrik pada final Piala Dunia.

Tetapi sama ada bola melantun melepasi garisan atau tidak hasil rembatan Hurst untuk gol ketiga England, insiden itu sering dibahaskan selama setengah abad dengan Sabtu ini menandakan ulang tahun ke-50 final 1966.

Pengadil Swiss Gottfried Dienst menganugerahkan gol selepas berunding dengan penjaga garisan Tofiq Bahramov dari Azerbaijan yang pada ketika itu masih menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.

Beberapa kajian moden menggunakan analisis filem dan simulasi komputer mencadangkan bola tidak pernah melampaui garisan seperti yang Seeler tekankan selama setengah abad.

“Saya berdiri di belakang kotak dan benar-benar melihat bola tidak melintasi garisan,” kata Seeler, 79.

Rembatan Hurst menewaskan penjaga gol Jerman Barat Hans Tilkowski selepas bola terkena bahagian bawah palang gol, melantun pada garisan sebelum ditanduk keluar oleh pertahanan Wolfgang Weber. Tetapi keputusan Dienst sentiasa membinggungkan Jerman dan kapten pasukan Seeler.

“Kami semua kecoh. Tiada seorang pun daripada kami tahu apa yang berlaku,” kata Seeler. “Tidak seorang pun (dalam pasukan Jerman Barat) dapat memahami mengapa gol itu diberikan.”

Walaupun final 1966 kekal sebagai kejayaan tunggal Piala Dunia England, kemenangan Jerman pada final 2014 di Brazil adalah gelaran dunia keempat dan Seeler berkata sudah sampai masanya untuk melupakan kontroversi 1966 itu.

“Saya percaya semua pemain kini dapat menerima peristiwa itu,” katanya. “Walaupun ia detik bersejarah, sukan kadang-kadang seperti itu. Anda perlu menyerap dan menyimpannya.” – AFP