Jerman perketatkan peraturan pencari suaka

Jerman perketatkan peraturan pencari suaka

BERLIN, 30 Sept (AFP) – Jerman semalam memperketatkan undang-undang untuk pencari suaka dari Balkan ketika Eropah bergelut untuk menghadapi pertambahan pendatang, dengan angka baru menunjukkan lebih setengah juta telah menyeberangi Mediterranean tahun ini.

Berlin menambah Albania, Kosovo dan Montenegro kepada senarai negara selamat, maka mereka yang menuntut perlindungan dari negara berkenaan boleh dihantar pulang dengan segera bagi melepaskan sumber untuk pelarian dari negara yang dibelenggu peperangan seperti Syria.

Dasar pintu terbuka Jerman sebelum ini untuk warga Syria telah mencetuskan pertempuran dengan beberapa negara anggota EU timur, terutamanya Hungary, yang telah mengambil dasar yang lebih keras dan menutup sempadannya kepada pendatang.

Budapest, yang telah menerima kritikan disebabkan pendekatannya yang keras, semalam berkata ia akan mengemukakan cadangan untuk kuota pendatang global pada satu persidangan PBB.

Ketegangan berlaku tatkala jumlah pendatang yang tiba menerusi Mediterranean tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan, dengan agensi pelarian PBB (UNHCR) berkata 515,000 tiba setakat ini pada tahun ini.

Kira-kira separuh di antara mereka sedang melarikan diri daripada perang saudara Syria, yang telah menjadi agenda utama Perhimpunan Agung PBB di New York minggu ini, dan di mana Setiausaha Agung Ban Ki-moon sedang mengadakan mesyuarat mengenai krisis pelarian hari ini.

Berdasarkan skala isu berkenaan, kumpulan ekonomi terkenal G7 dan negara Teluk menjanjikan pembiayaan sebanyak AS$1.8 bilion untuk agensi bantuan PBB yang membantu pelarian Syria.