Jerman, Poland sekadar seri

Jerman, Poland sekadar seri

PARIS 17 Jun (AFP) – Jerman dan Poland berkongsi mata dalam pertemuan Kumpulan C Euro 2016 apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 sebentar tadi, sekali gus mengesahkan penyingkiran Ukraine daripada kejohanan itu selepas gagal mengutip sebarang mata selepas tewas 0-2 kepada Ireland Utara.

Skuad bimbingan Joachim Loew tampil dengan kesebelasan utama dengan harapan mengutip tiga mata untuk mengungguli carta kumpulan, tetapi kekentalan barisan pertahanan dan kecekapan penjaga gol Poland, Lucas Fabianski ternyata menghampakan barisan serangan Jerman yang dikemudi oleh Mario Gotze, Mesut Ozil, Thomas Muller dan Julian Draxler.

Meskipun Jerman lebih banyak menguasai perlawanan dengan penguasaan bola kira-kira 69 peratus dan melakukan 16 percubaan ke arah pintu gol Poland, namun skuad Die Mannschaft terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Pertahanan Jerman Jerome Boateng merungut pasukannya terlalu kaku, namun bersetuju ia keputusan yang adil daripada aksi yang penuh sengit itu.

“Kami masih boleh berpuas hati de-ngan keputusan 0-0 ini,” kata Boateng, yang bagaimanapun tetap mengkritik barisan jentera serangan yang tampak kurang bernafsu.

Antara serangan berbahaya yang dilakukan oleh Jerman. – AFP
Antara serangan berbahaya yang dilakukan oleh Jerman. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Kami kurang memasuki kawasan lawan, kami tidak cukup berbahaya dan kami perlu meningkatkannya atau kami tidak akan pergi lebih jauh,” katanya kepada ZDF.

Kini Loew perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Ireland Utara pada perlawanan akhir peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kedua, keputusan yang sama diperlukan Poland ketika menentang Ukraine pada 22 Jun ini.

Sementara itu, Ukraine disahkan menjadi pasukan pertama yang tersingkir daripada kejohanan Euro 2016 selepas tewas dua perlawanan kepada Jerman dan Ireland Utara.

Jerman masih mengungguli carta kumpulan walaupun berkongsi empat mata dengan Poland dan hanya dipisahkan perbezaan jaringan manakala Ireland Utara masih di tangga ketiga dengan tiga mata.