Jerman sedia hadapi San Marino

Jerman sedia hadapi San Marino

SERRAVALLE, San Marino, 10 Nov – Juara dunia Jerman berdepan pasukan kerdil San Marino pada kelayakan Piala Dunia 2018 dalam apa yang dikatakan bagai perlawanan semut dan gajah esok.

Jerman juga akan membuat pertemuan dengan pasukan gergasi Eropah Itali selasa depan dalam perlawanan persahabatan, perlawanan antarabangsa terakhir mereka tahun ini, namun sebelum bertemu pasukan Azzurri itu, Jerman begitu berhasrat untuk mengutip tiga mata penuh apabila menentang San Marino.

Negara kecil yang terletak di kawasan pergunungan Utara Itali itu hanya mempunyai penduduk sekitar 33,400 dan ranking pasukan tersebut diletakkan 199 di bawah Jerman yang menduduki tempat kedua oleh badan pengendali bola sepak FIFA.

Meskipun Jerman dibelenggu dengan senarai menggunung pemain cedera, keputusan selain daripada menang adalah tidak dapat diterima oleh pemenang Piala Dunia empat kali itu.

Jerman berada di tangga teratas Kumpulan C dengan rekod sempurna sembilan mata, lapan jaringan dan tanpa bolos.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew ketika sidang media menjelang perlawanan di antara Jerman dan San Marino. – AFP
Jurulatih Jerman, Joachim Loew ketika sidang media menjelang perlawanan di antara Jerman dan San Marino. – AFP

Di tempat terbawah pula ialah San Marino yang telah tewas dalam tiga perlawanan mereka, melepaskan sembilan jaringan pada gawang mereka dan menjaringkan hanya sekali, apabila Mattia Stefanelli membuat jaringan bulan lepas dalam kekalahan 4-1 ke atas Norway.

“Ia adalah perasaan yang bagus untuk menjaringkan gol buat pasukan negara saya. Saya mengimpikan mengenai berbuat sedemikian sejak saya kecil,” ujar pemain berusia 23 tahun itu, yang menjaringkan gol pertama San Marino dalam kelayakan Piala Dunia sejak 2001.

Perlawanan tersebut akan berlangsung di Serravalle Stadio Olimpico, yang mempunyai muatan hanya 7,000 penonton, di mana Jerman menewaskan San Marino 13-0 pada 2006. – AFP