Jerman terlalu sukar ditandingi – O’Neill

Jerman terlalu sukar ditandingi – O’Neill

HANOVER, Jerman, 12 Okt – Pengurus Ireland Utara, Michael O’Neill (gambar) menyifatkan Jerman sebagai sebuah pasukan yang sukar dihalang selepas juara dunia itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas mereka dalam aksi kelayakan Piala Dunia, kelmarin.

Pasukan Jerman mencatat tiga kemenangan daripada tiga aksi kelayakan dalam menuju ke final temasya 2018 di Rusia menerusi jaringan Julian Draxler dan Sami Khedira. Malah, gawang pasukan Jerman juga masih belum lagi dibolosi dalam kempen kelayakan ke Rusia 2018.

“Sama seperti dalam permainan terakhir, kami bermain dengan memberikan tumpuan dan agresif,” kata Khedira.

“Secara keseluruhannya, kami boleh bergembira terutama pada separuh masa pertama. Ada ruang untuk penambahbaikan, tetapi ia satu keputusan yang baik.”

Walaupun Ireland berjaya menewaskan San Marino minggu lalu, tetapi jurulatih O’Neil mempunyai penjelasan tersendiri di atas kekalahan kepada Jerman.

“Kami tiba di sini bersama perancangan untuk cuba dan menafikan (kemenangan) sebuah pasukan yang hebat dan mempunyai pemain hebat yang mana adalah bagus sekiranya kamu dapat mengikat mereka,” kata O’Neill.

“Kami melepaskan gol pertama, ia adalah penyudah hebat dari Draxler tetapi amat mengecewakan apabila gol kedua yang dilepaskan itu hadir daripada sepakan sudut.

“Kami seperti berpeluang meraih satu gol apabila melakukan serangan balas pada babak pertama dan kami menunjukkan semangat untuk hanya membenarkan mereka meraih dua gol.

“Tetapi saya tidak pasti sekiranya ada sistem yang mampu menyekat Jerman pada ketika ini. Ia bukan saja daripada sudut taktikal tetapi juga kualiti besar dan semangat atlet yang berada dalam pemain mereka.”

Jerman hanya tewas dua daripada 85 perlawanan kelayakan Piala Dunia dalam sejarah kegemilangan mereka dan tidak memberi peluang langsung kepada Ireland Utara mengecapi kemenangan pertama di bumi Jerman selama 33 tahun. – AFP