Jerman tumbangkan Norway

Jerman tumbangkan Norway

OSLO, 5 Sept – Thomas Mueller dan rakan sepasukannya Joshua Kimmich masing-masing menjaringkan gol untuk membantu Jerman mengatasi Norway 3-0 dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia semalam.

Mueller mengambil kesempatan atas kecuaian benteng pertahanan Norway di awal permainan dan menanduk masuk gol ketiga Jerman pada minit ke-60 dalam saingan Kumpulan C kelayakan zon Eropah.

Mueller yang gagal meletakkan dirinya dalam senarai penjaring ketika kejohanan Euro 2016 lalu, turut melakukan umpanan kepada Joshua Kimmich untuk gol kedua Jerman semalam, dan gol antarabangsa pertama buat rakan sepasukannya itu.

Ketiadaan Jerome Boateng, Mario Gomez dan Andre Schuerrle, serta Lukas Podolski dan Bastian Schweinsteiger yang sudah bersara daripada kancah bola sepak antarabangsa langsung tidak menjejaskan rentak Jerman.

Mereka menguasai 68 peratus permainan dan berada di dalam kawasan Norway hampir pada keseluruhan permainan.

Pasukan Jerman meraikan kemenangan mereka setelah menewaskan Norway 3-0. – AP
Pasukan Jerman meraikan kemenangan mereka setelah menewaskan Norway 3-0. – AP

Penjaga gol, Manuel Neur yang dilantik kapten menggantikan Schweinsteiger langsung tidak diuji dengan percubaan tepat.

“Kami mengawal setiap aspek, kami tidak membenarkan Norway mengawal permainan dan mencipta peluang. Saya gembira dengan persembahan pasukan.

“Ia bagus untuk Mueller untuk menjaringkan gol dan bagus untuk kami juga. Saya bagaimanapun lebih gembira jika dia menjaringkan gol di Kejuaraan Eropah.”

Norway, yang menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan persahabatan pada tahun 2009, gagal mengulangi aksi cemerlang mereka dan setiap percubaan mudah dipatahkan skuad lawan yang bermain dengan pantas.

Ia adalah permulaan sempurna untuk Jerman dalam kumpulan yang dianggap cukup mudah buat juara dunia itu.

Pesaing terdekat mereka, Republik Czech sekadar seri tanpa jaringan menentang Ireland Utara manakala Azerbaijan menang tipis 1-0 ke atas pasukan kerdil San Marino. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA