Jerudong berpestakan buah-buahan

Jerudong berpestakan buah-buahan

Oleh Hakim Hayat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Penggemar-penggemar buah tempatan yang ingin menikmati buah-buahan kegemaran mereka itu, pada hujung minggu ini setentunya gembira apabila mengetahui bahawa Festival Buah-buahan kini diadakan di Taman Jerudong Park sehingga hari Ahad.

Dianjurkan oleh Jerudong Park and Country Club (JPCC) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei-Muara, festival tiga hari itu dilancarkan bersama-sama oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei Muara, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain dan Abdul Latif bin POKSS DP Haji Mohd Yusuf, anggota Lembaga Pengarah JPCC, hari ini.

Festival buah-buahan ini menawarkan lebih 20 jenis buah-buahan tempatan dari beberapa buah mukim dan kampung seperti durian, rambutan, langsat, manggis dan lainnya seperti mana lazimnya banyak pada musim buah ini.

Antara tarikan utama di festival ini ialah promosi bufet durian bertemakan ‘makan sepuas-puasnya’ khusus untuk para pencinta durian.

Awang Shamsul Bahrin dan Haji Abdul Latif memotong kek untuk merasmikan Festival Buah-buahan di Jerudong.
Awang Shamsul Bahrin dan Haji Abdul Latif memotong kek untuk merasmikan Festival Buah-buahan di Jerudong.
Antara buah-buahan yang dijual di festival tiga hari tersebut.
Antara buah-buahan yang dijual di festival tiga hari tersebut.

Festival ini diadakan bersempena dengan percutian panggal sekolah dimeriahkan lagi dengan kegiatan sampingan seperti persembahan kebudayaan, tarian dan keagamaan akan berlangsung sehingga hujung minggu di Taman Jerudong Park, Jerudong. Pada Ahad ini akan diadakan Pertunjukan Kereta 4×4 dan juga Persembahan Burung Nuri.

Menurut Evy Vaizuri Haji Abdul Raup, Penolong Pegawai Perkembangan Jualan dan Perniagaan di JPCC, festival ini merupakan yang pertama seumpamanya diadakan di Taman Jerudong Park bertepatan dengan musim buah dan percutian panggal sekolah.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menarik ramai lagi pengunjung ke Jerudong Park dengan menawarkan pelbagai kegiatan untuk keluarga dan kanak-kanak dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Jerudong Park dengan menghabiskan masa berkualiti mereka bersama keluarga masing-masing,” ujar beliau lagi.

Festival ini akan bermula esok (Sabtu) jam 3 petang hingga 10 malam dan hari terakhir (Ahad) dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

ARTIKEL YANG SAMA