Jerudong FC belasah IKLS FC 8-0

Jerudong FC belasah IKLS FC 8-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Jerudong FC menamatkan kempennya dalam Liga Super DST 2015 penuh bergaya apabila berpesta gol mencatat 13 gol dari dua perlawanan terakhirnya dengan yang terbaru membelasah teruk IKLS FC 8-0.

Sebelum ini iaitu dalam perlawanan ke-17nya pada 24 November lalu, Jerudong FC membenam pasukan tercorot Liga Super DST 2015, Kilanas FC dengan jaringan 5-0.

Perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada sebelah petang kelmarin itu menyaksikan Mohd Hardi Anak Bujang mencatat hatrik, manakala Mohd Bazli bin Mohd Said mencetak dua gol peribadi terpantas yang dihasilkannya berturut-turut pada minit ke-4 dan ke-5.

Mohd Faiz Farhan bin Kamat menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-12 disusuli dengan ledakan jaringan pertama peribadi Mohd Hardi untuk Jerudong FC sudah selesa di depan dengan jaringan 4-0 tatkala perlawanan baru berlangsung 19 minit.

Perlawanan berlangsung agak lama tanpa jaringan dihasilkan lagi selepas gol keempat berkenaan sehingalah masuk ke separuh masa kedua.

Mohd Hardi (dua dari kanan, barisan depan) mencatat hatrik dalam kemenangan besar 8-0 Jerudong FC ke atas IKLS FC.
Mohd Hardi (dua dari kanan, barisan depan) mencatat hatrik dalam kemenangan besar 8-0 Jerudong FC ke atas IKLS FC.

Gol kelima Jerudong FC hadir pada minit ke-66 menerusi jaringan adik kembar Mohd Hardi iaitu Mohd Mardi Mirza.

Lapan minit kemudian Mohd Hardi mendapat gol kedua peribadinya disusuli dengan gol hatriknya dua minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat untuk membantu pasukannya terus selesa dengan pendahuluan 7-0.

Ketika IKLS FC dan penonton menyangka 7-0 sudah cukup untuk menjadi keputusan muktamad perlawanan, Agus Haryono memastikan namanya turut tercatat dalam senarai penjaring menerusi jaringannya dua minit dalam masa kecederaan untuk gol kelapan Jerudong FC.

Menerusi kemenangan itu Jerudong FC menamatkan kempennya di tangga keenam dengan 26 mata dari 18 permainan, sepuluh mata di atas pasukan di tempat ketujuh, MS PDB dan satu mata di belakang pasukan di tangga kelima, Tabuan Muda.

ARTIKEL YANG SAMA