Jerudong FC belasah Kilanas FC 5-0

Jerudong FC belasah Kilanas FC 5-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Liga Super DST 2015 diteruskan malam tadi dengan perlawanan di antara Jerudong FC dan Kilanas FC yang berkesudahan Jerudong FC membelasah Kilanas FC dengan jaringan 5-0.

Jerudong FC sudah mendahului separuh masa pertama perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu dengan jaringan 4-0 yang bermula dengan jaringan Mohd Bazli bin Mohd Said pada minit ke-13.

Afindi Yati bin Haji Tuah menambah jaringan buat Jerudong FC sekali gus menambah pendahuluan pasukannya kepada 2-0 pada minit ke-22.

Penjaring utama Jerudong FC, Hardi Anak Bujang mendapatkan gol pertamanya malam tadi pada minit ke-34 bagi membawa pasukannya terus selesa di depan, kali ini dengan jaringan 3-0. Enam minit sebelum berakhirnya babak pertama, Jerudong FC sekali lagi berjaya membolosi gawang Kilanas FC menerusi sumbangan Hairol Azaman Shah bin Abdullah untuk Jerudong FC membawa pendahuluan 4-0 ke separuh masa kedua.

Hanya sembilan minit selepas rehat iaitu pada minit ke-54, Hardi meledakkan gol kedua peribadinya untuk Jerudong FC bertambah selesa dengan pendahuluan 5-0.

Baki 36 minit perlawanan di babak kedua berlangsung tanpa jaringan lagi berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan untuk memuktamadkan keputusan 5-0 memihak Jerudong FC.

Jerudong FC dengan tambahan tiga mata itu kini mengumpul 23 mata dari 17 permainan di tempat keenam, masih berbaki satu lagi perlawanan, manakala Kilanas FC kekal dengan 6 mata dari 18 permainan menghuni tangga terbawah.

Jerudong FC walaupun menang perlawanan terakhirnya nanti akan masih menduduki tempat keenam kerana pasukan di atasnya iaitu Tabuan Muda kini sudah mengumpul 27 mata dari 16 permainan, sedang Wijaya FC di tempat keempat sudah menamatkan kempennya musim ini dengan mengumpul 31 mata.

Manakala pasukan di tempat ketujuh iaitu MS PDB sudah menamatkan kempennya dengan mengumpul 16 mata, kutipan mata yang sudah memastikan tempat ketujuh menjadi miliknya musim ini kerana Lun Bawang di tempat kelapan yang memiliki baki satu permainan saja lagi setakat ini hanya mengumpul 12 mata.