Jerudong FC buat kejutan

Jerudong FC buat kejutan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Jerudong FC mengejutkan Najip I-Team apabila memberikan pasukan di kedudukan kedua Liga Super DST 2015 ketika ini kekalahan keduanya malam tadi dengan jaringan 2-1.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Najip I-Team terlebih awal mendahului pada minit ke-10 menerusi jaringan Ampuan Mohd Endy Azri bin Ampuan Haji Idris.

Gol penyamaan Jerudong FC pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah berkenaan hadir pada minit ke-29 yang dijaringkan oleh Agus Haryono.

Perlawanan separuh masa kedua berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan masing-masing memiliki peluang untuk menjaringkan gol namun Jerudong FC yang mempunyai beberapa peluang terbaik, hanya saja tiang gol dan penyudah yang kurang tepat ketika hanya berdepan penjaga gol menjadi penyelamat Najip I-Team.

Namun segala-galanya berubah pada minit ke-72 apabila Mohd Shah Azahar bin Abdullah Ahar yang bermain selaku pertahan kanan sering membantu serangan Jerudong FC dari sebelah sayap kanan berjaya membolosi gawang Najip I-Team.

Mohd Shah Azahar (jersi 3 biru) menjaringkan gol pada minit ke-72 untuk memberikan Jerudong FC kemenangan 2-1 ke atas Najip I-Team semalam.
Mohd Shah Azahar (jersi 3 biru) menjaringkan gol pada minit ke-72 untuk memberikan Jerudong FC kemenangan 2-1 ke atas Najip I-Team semalam.

Ternyata jaringan itu menjadi jaringan terakhir perlawanan sekaligus memberikan Jerudong FC tiga mata berharga untuknya kini mengumpul tujuh mata dari lima perlawanan yang membolehkannya mendaki ke tangga keenam liga.

Kekalahan itu menjadi tamparan hebat ke atas misi kejuaraan Najip I-Team yang berpeluang merampas kedudukan teratas liga berkenaan jika menang malam tadi, sebaliknya terus kekal di tangga kedua dengan 15 mata dari tujuh perlawanan.

Indera SC yang tidak bermain malam tadi kekal di puncak dengan 15 mata dari lima perlawanan. Tabuan Muda di tempat ketiga dengan 10 mata daripada tujuh perlawanan sementara MS ABDB di tangga keempat dengan sembilan mata dari tiga perlawanan.