Jerudong FC kejutkan ABDB

Jerudong FC kejutkan ABDB

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 17 Ogos – Jerudong FC menjadi pasukan pertama menyebabkan MS ABDB kehilangan mata dalam Liga Super DST 2015 apabila mengejutkan pasukan tentera 3-2 malam tadi.

Mohd Hardi Bujang muncul wira Jerudong apabila meledakkan hatrik dalam perlawanan menarik di Kompleks Sukan Tutong yang menyaksikan Jerudong mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Mohd Hardi menjaringkan gol pertama Jerudong pada minit ke-14 sebelum menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-35.

MS ABDB kembali memberikan persaingan apabila Haji Mohd Yusof bin Haji Md Yassin berjaya memecahkan kebuntuan dengan jaringannya pada minit ke-56 untuk merubah kedudukan menjadi 1-2.

Namun, Mohd Hardi terus cemerlang apabila sekali lagi berjaya membolosi gawang MS ABDB pada minit ke-76 untuk mengembalikan pendahuluan dua gol Jerudong.

Hardi (depan, tiga kanan) menjaringkan hatrik bagi membantu Jerudong FC mengalahkan MS ABDB dalam aksi Liga Super semalam.
Hardi (depan, tiga kanan) menjaringkan hatrik bagi membantu Jerudong FC mengalahkan MS ABDB dalam aksi Liga Super semalam.

Sepuluh minit berselang, kedudukan menjadi 2-3 setelah Suhaime bin Haji Mohd Yussof mencatat namanya dalam senarai penjaring, sekali gus menaikkan semangat MS ABDB menggempur pertahanan Jerudong untuk mendapatkan gol penyamaan.

Namun Jerudong FC berjaya menangkis serangan sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada MS ABDB selepas pasukan tentera itu bermula garang dengan tujuh kemenangan berturut-turut musim ini.

Walaupun tewas, MS ABDB masih di tempat teratas dengan 21 mata daripada lapan perlawanan, tiga mata di atas juara bertahan, Indera SC, yang baru bermain enam kali untuk mengumpul 18 mata.

Jerudong pula kekal di tangga keenam dengan 13 mata daripada lapan perlawanan, hanya satu mata di belakang Tabuan Muda yang sudah bermain sembilan kali termasuk yang terbaru menang 5-1 ke atas Lun Bawang.

ARTIKEL YANG SAMA