Jerudong Park catat 541,853 pengunjung

Jerudong Park catat 541,853 pengunjung

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Seramai 541,853 orang pengunjung tempatan dan antarabangsa telah dicatatkan berkunjung ke Taman Permainan Jerudong Park (JP) sejak ia dilancarkan semula pada Mei 2014.

Statistik ini dikongsikan oleh wakil dari Jerudong Park & Country Club (JPCC) Sdn Bhd, Pengurus Kanan JPCC, Awang Jeff Hadiman bin Dato Haji Danial dalam sidang akhbar yang berlangsung di VIP Lounge, JP Garden, Jerudong, di sini, pagi tadi.

Dalam sidang media itu, beliau juga telah mengumumkan mengenai perkhidmatan yang dikemaskinikan seperti Musical Fountain baru di JP Garden, waktu beroperasi baru dan pilihan bayaran tiket masuk baru.

Beliau memberitahu media tempatan bahawa persembahan bagi Musical Fountain yang baru itu bakal dibukakan untuk orang ramai yang membeli tiket pada 12 Ogos ini nanti bermula pukul 8:15 malam.

Ia akan dimainkan dua kali dalam sehari hanya pada hari Jumaat hingga Ahad dalam pertunjukan yang mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit dalam satu sesi sebelum meneruskan sesinya yang kedua pada pukul 9:15 malam.

Awang Jeff Hadiman (dua kiri) dan Pengurus Jualan dan Pemasaran JPCC, Datin Sakdiah binti Haji Mohd Noor (dua kanan) ketika sidang media tersebut.
Awang Jeff Hadiman (dua kiri) dan Pengurus Jualan dan Pemasaran JPCC, Datin Sakdiah binti Haji Mohd Noor (dua kanan) ketika sidang media tersebut.

Musical Fountain buatan Eropah yang baru ini sebagai pengganti air pancut muzik yang lama, dan dengan saiz yang menyamai kolam Olimpik, ia menampilkan persembahan air daripada segi pergerakannya yang berbeza, malah boleh menyembur air setinggi 15 meter menggunakan jet air terkini, jelas beliau.

Selain daripada persembahan yang bakal memukau penonton, Musical Fountain berkenaan juga menggunakan elemen laser yang tidak pernah disaksikan pada persembahan air berirama yang sebelum ini. Beliau juga memaklumkan bahawa beberapa pilihan lagu yang dimainkan ketika persembahan air itu dihasilkan oleh Leiley Production House, sebuah produksi tempatan yang menghasilkan lagu-lagu tradisional klasik versi yang diubahsuai untuk generasi baru dan lama.

Menyentuh mengenai waktu beroperasi baru bagi taman permainan berkenaan, Awang Jeff Hadiman menyatakan, kini Jerudong Park beroperasi selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad bagi kesemua permainan kecuali Musical Fountain yang hanya diadakan setiap Jumaat hingga Ahad.

Ini kerana, tambahnya lagi, pada hari Isnin hingga Rabu, Jerudong Park ditutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.

Beliau menambah, sebagai pusat hiburan keluarga yang terbesar di Brunei, Jerudong Park meningkatkan perkhidmatannya untuk memastikan lebih ramai orang datang dan bergembira di kawasan permainan dan tamannya.

“Bermula 11 Ogos ini, Jerudong park akan memperkenalkan harga tiket berjumlah $2 setiap seorang, yang membolehkan pengunjung berkunjung ke kawasan permainan untuk menikmati suasana dan pemandangan di kawasan itu atau untuk beristirahat dan bersembang-sembang bersama rakan-rakan dan keluarga,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA