Jesus bakal g...

Jesus bakal ganti peranan Aguero

BOURNEMOUTH, United Kingdom, 12 Feb – Penyerang Manchester City Gabriel Jesus berhasrat untuk melanjutkan kerjaya cemerlangnya di Liga Perdana dengan cuba menampilkan permainan hebat pada perlawanan menentang Bournemouth pada Selasa ini.

Pasukan Pep Guardiola terkeluar daripada kedudukan kelayakan Liga Juara-Juara selepas tewas empat daripada sembilan perlawanan pada bulan Disember dan Januari.

Tiga kemenangan berturut-turut pada dua kejohanan berbeza bagaimanapun telah mengembalikan semangat serba sedikit, apabila Jesus memberikan sumbangan yang penting dalam setiap perlawanan.

Pemain penyerang Brazil itu yang berpindah dari kelab Palmeiras ketika jendela pertukaran pertengahan musim, telah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan Liga Perdana pertamanya dan memperoleh kedua-dua gol apabila Swansea tewas 2-1 di Eastlands pada Ahad lepas.

Dalam beberapa hari kebelakangan, rakan sepasukannya Fernandinho dan Yaya Toure kedua-duanya memberikan amaran agar tidak terlalu terbawa-bawa akan permulaan hebat pemain berusia 19 tahun itu, namun para pengkritik telah bertanyakan jika ini mungkin permulaan bagi berakhirnya fenomena Sergio Aguero di City.

Gabriel Jesus (tengah) pemain muda Manchester City yang menunjukkan prestasi baik dalam beberapa perlawanan baru-baru ini. – AP
Gabriel Jesus (tengah) pemain muda Manchester City yang menunjukkan prestasi baik dalam beberapa perlawanan baru-baru ini. – AP

Aguero hanya membuat penampilan yang singkat sebagai pemain simpanan dalam dua perlawanan baru-baru ini dan mencadangkan selepas perlawanan Swansea dia tidak pasti mengenai masa depannya, meskipun City menunjukkan mereka tidak mempunyai rancangan untuk menjual penyerang itu yang masih di bawah kontrak sehingga 2020.

Ia telah menjadi satu musim yang sukar buat pemain antarabangsa Argentina itu, yang telah terlepas tujuh perlawanan City disebabkan penggantungan, telah terlepas empat penalti buat kelab dan negaranya pada pertengahan Oktober.

Aguero juga telah kehilangan tempat kesebelasan utama dalam pasukan kebangsaan baru-baru ini dan mungkin akan menjadi pemain simpanan ketika menentang Bournemouth.

Dengan City kini di tangga kelima, di belakang Liverpool dengan beza jaringan, Guardiola mempunyai isu-isu pemilihan lain untuk dipertimbangkan.

Claudio Bravo, pilihan pertama, tidak bermain dengan baik dalam beberapa minggu kebelakangan dan tidak dimainkan setelah keputusan seri 2-2 di tempat sendiri menentang Tottenham pada 21 Januari.

Willy Caballero, pemain sandaran telah bermain tiga perlawanan sejak itu dan kesemuanya dimenangi oleh City.

Meskipun dalam dilema pemilihan, Guardiola lebih yakin dengan cara pasukannya bermain sekarang berbanding sebulan lalu, apabila kekalahan 4-0 ke atas Everton mendorongnya untuk mengisytiharkan City terkeluar daripada perebutan gelaran juara Liga Perdana. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA